Cari @ Amanz

Menurut kajian Boeing dan Airbus, pesawat dengan tubuh merangkap sayap atau dalam bahasa Inggerisnya blended wing body (BWB) dapat mengurangkan penggunaan bahan api. Pada waktu yang sama lebih banyak kargo berbanding rekaan pesawat konvensional. Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) minggu lalu memilih firma JetZero sebagai pemenang kontrak membina prototaip pesawat BWB untuk kegunaan mereka.

Konsep pesawat BWB JetZero

Rekaan yang dipilih mempunyai tubuh lebar, sayap yang pendek dan dua enjin diletakkan pada bahagian belakang tubuh pesawat. Pesawat BWB boleh mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 50%, mengurangkan geseran udara sehingga 30% dan membawa lebih banyak kargo untuk bahan api yang dibakar.

Konsep pesawat BWB JetZero

BWB berbeza dengan rekaan sayap terbang (flying wing) yang digunakan pada B-2 Spirit dan B-21 Raider kerana ia masih mempunyai bahagian tubuh yang ketara. Sayap terbang tidak mempunyai ruang untuk kargo yang besar dan memerlukan komputer untuk diterbangkan kerana memberikan tumpuan kepada kemampuan sukar dikesan radar.

Northrop Grumman B-21 Raider

Konsep BWB pada asalnya direka untuk pesawat penumpang tetapi kerana ianya lebar membuatkan mereka yang duduk di tengah-tengah tidak dapat melihat ke luar kerana tingkap yang jauh. Untuk kegunaan ketenteraan, ini bukanlah isu yang besar. Ruang dalaman yang besar bukan sahaja boleh memuatkan kargo lebih besar tetapi juga membolehkan ia menjadi pesawat pengisi minyak. Kelebihan lain ialah dengan enjin diletakkan di bahagian atas, ia boleh beroperasi dari landasan yang tidak beturap tanda risiko FOD.

Boeing telah memperlihatkan konsep pesawat kargo sukar dikesan radar dengan rekaan BWB sebelum. Menarik sekali Boeing antara yang bertanding untuk memenangi kontrak USAF tetapi kalah kepada JetZero.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd