Carian
Qualcomm Lancar Siri Cip Snapdragon G1, G2 Dan G3 Khusus Untuk Peranti Gaming Mudah Alih
August 24, 2023 Effi Saharudin

Cip Snapdragon terkenal dengan prestasi gaming mereka yang tinggi dan kerap digunakan pada peranti mercu pengeluar Android. Pagi ini mereka melancarkan tiga cip siri Snapdragon G yang dihasilkan khusus untuk digunakan pada peranti gaming mudah alih

Bermula dengan keluarga Snapdragon G1 yang adalah versi dengan spesifikasi paling rendah. Ia menyasarkan penggunaan pada peranti penstriman dari konsol ataupun dari awanan. Dengan Snapdragon G1 permainan boleh distrim dengan lancar tanpa lengah masa dan pada waktu yang sama mempunyai tahap ketahanan bateri yang baik. Cip ini hadir dengan CPU Kryo 8 teras dan dipadankan dengan GPU Adreno A11.

Seterusnya ialah keluarga Snapdragon G2 untuk peranti gaming mudah alih yang juga boleh digunakan untuk tujuan penstriman permainan. Ia menyokong rangkaian 5G dan juga WiFi 6E yang terkini bagi mendapatkan rangkaian internet yang terpantas secara nirwayar. Cip Snapdragon G2 Gen 1 yang dilancarkan hari ini dilengkapi CPU Kryo 8 teras dan dipadankan dengan GPU Adreno A21 serta modem Snapdragon X62 5G.

Akhir sekali ialah keluarga Snapdragon G3 yang mempunyai kemampuan memproses paling berkuasa untuk permua dengan grafik pada tetapan paling tinggi. Cip Snapdragon G3x Gen 2 mengekalkan penggunaan CPU Kryo 8 teras tetapi dipadankan dengan GPU Adreno A32.

Menurut Qualcomm G3x Gen 2 mempunyai CPU 30% lebih pantas dan GPU 2x lebih pantas berbanding G3X Gen 1 yang dilancarkan tahun lalu pada Razer Edge. Snapdragon G3 turut menyokong WiFi 7, rangkaian 5G (Sub 6GHz dan mmWave), sistem audio Snapdragon Sound, ray tracing dan kata mata XR.

Komen