Minggu lepas WhatsApp mula memperkenalkan ciri menghantar gambar resolusi tinggi (HD) kepada semua pengguna. Mereka kemudian mengesahkan yang perkongsian video HD turut akan ditawarkan nanti. Hari ini, dalam semakan saya – WhatsApp untuk Android sudah boleh mula berkongsi video HD.
Cuma tidak kira betapa besar fail video atau resolusi apa, WhatsApp hanya memberi pilihan SD (640 x 368 pixel) atau HD (1280 x 720 pixel). Sekurang-kurangnya video kini nampak lebih elok berbanding sebelum. Cara penggunaan juga sama dengan gambar, iaitu pilih fail video, kemudian sebelum menghantar tekan ikon “HD” dan pilih saiz yang dimahukan.

Jika anda ingin berkongsi fail video sebenar tanpa sebarang pemampatan, anda boleh lakukan dengan memilih menghantar dokumen seperti sebelum ini. Tips lain yang biasa saya sendiri lakukan adalah berkongsi pautan Google Photos atau iCloud terus.