Beberapa syarikat media utama dunia seperti Disney, Bloomberg, The Washington Post, The Atlantic, Axios, Insider, ABC News, ESPN, Condé Nast, Hearst, dan Vox Media mula menghalang bot ChatGPT daripada mengakses kandungan laman mereka. Langkah ini diambil selepas CNN, The New York Times, dan Reuters telah menghalang bot yang sama minggu lalu dan The New York Times ingin menyaman OpenAI yang membangunkan ChatGPT kerana menggunakan kandungan mereka tanpa kebenaran untuk melatih model kecerdasan buatan (AI).
GPTBot dilancarkan beberapa bulan yang lalu dengan kemampuan membaca kandungan internet bagi mendapatkan maklumat yang paling mutakhir serta tepat. ChatGPT hanya dilatih menggunakan data sehingga 2020 sahaja. Antara isu yang ditemukan pengguna ialah jawapan yang diberikan ChatGPT sudah ketinggalan zaman.
Awal bulan ini OpenAI mengeluarkan kod yang membolehkan pemilik laman untuk menghalang GPTBot daripada mengakses laman sekiranya tidak mahu data digunakan tanpa kebenaran. Pada waktu ini OpenAI berhadapan saman kumpul yang difailkan oleh beberapa penulis kerana mendakwa buku mereka digunakan untuk latihan model tanpa pampasan dibayar.