Xiaomi tidak ketinggalan dalam arena telefon lipat. Terbaru mereka telah melancarkan telefon lipat generasi ketiga iaitu Xiaomi MIX Fold 3. Telefon ini menjadi paling unik dan antara yang terhebat kerana spesifikasi, rekaan, dan kamera Leica. Minggu ini saya berpeluang mencubanya tetapi mendukacitakan Xiaomi telah mengesahkan yang telefon ini tidak akan dijual di luar China kerana jumlah pengeluaran yang terhad.
Dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan dalam tempoh yang singkat. Adakah berbaloi membeli set import yang berharga hampir RM7000 atau tunggu sahaja di masa hadapan apabila set rasmi ditawarkan sendiri oleh Xiaomi.
SPESIFIKASI
Xiaomi MIX Fold 3 | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.56″ AMOLED 1080 x 2520 piksel, 120Hz, Dolby Vision Dalam – 8.03″ LTPO OLED+ 1916 x 2160 piksel, 120Hz, Dolby Vision |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) |
Cip | 1x 3.36 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 12/16 Gigabyte LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256/512/1000 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.77, OIS (Sudut Lebar) 12 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar) 10 MP, f/2.0 (Telefoto) 3.2x Zum Optical 10 MP, f/2.92 (Telefoto) Leica |
Kamera Depan | 20 Megapixel f/2.3 |
Bateri | 4800 mAh Pengecasan berwayar 67W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Tiada |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari di sisi |
Harga Jualan | RM5631* (12/256 GB) RM6257* (16/512 GB) RM6883* (16/1000 GB) *= mata wag asing |
REKAAN
Sebelum ini saya mengatakan siri Oppo Find N mempunyai rekabentuk telefon lipat terbaik kerana ianya praktikal dan mudah dikendalikan. Xiaomi MIX Fold 3 telah mengubah persepsi saya kerana ia sebuah telefon lipat yang hebat. Rekaan memanjang seakan Galaxy Z Fold5 tetapi skrin luar masih mengekalkan nisbah seakan telefon pintar candbybar biasa.
Binaan peranti juga amatlah dengan ia sebenarnya lebih nipis berbanding Galaxy Z Flip5. Peranti mudah disimpan dalam kocek dan engsel terasa kukuh tanpa mengeluarkan bunyi seperti pengalaman saya menggunakan Mate X generasi pertama. Ia agak terasa lebih padat berbanding peranti Samsung. Butang-butang aras suara dan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari semuanya diletakkan di sisi kanan. Di atas dan di bawah hanya ada lubang mikrofon, penjenamaan Dolby, USB-C, kekisi speaker, slot kad SIM dan sensor infra merah.
Rekaan seperti ini adalah apa yang Honor dan Vivo telah lakukan dan hanya Samsung masih menawarkan skrin luar yang agak tirus. Di belakang, terdapat bonggol kamera segi empat dengan empat sensor serta penjenamaan Leica. Ia tidak begitu besar dan tebal maka tidaklah saya rasakan mengganggu. Cuma penggunaan peranti dalam keadaan melintang akan menyebabkan jari tersentuh lensa kamera dengan kerap.
Jika anda rasa kecewa dengan rekaan Z Fold5, ini jawapan untuk anda kerana ia mungkin iterasi peranti skrin boleh-lipat bersaiz benar yang paling sempurna setakat ini. Ini dibantu oleh rekan MIX Fold 3 yang bukan sahaja kelihatan premium tetapi terasa mewah apabila digunakan.
SKRIN
Sejak Xiaomi menggunakan skrin Dolby Vision dua tahun lalu, teknologi ini ditawarkan pada peranti mercu dan pertengahan tinggi mereka. Maka tidaklah menghairankan MIX Fold 3 hadir dengan Dolby Vision. Saya berani katakan ia adalah antara skrin terbaik untuk peranti lipat mercu keran ia terang, pantas, lancar dan mempunyai warna yang sedap mata memandang.
Skrin luar 6.56″ AMOLED 1080 x 2520 piksel, 120Hz, HDR10+, Dolby Vision dan nisbah 21:9 cukup selesa untuk digunakan. Oleh sebab itu MIX Fold 3 tidak perlu kerap dibuka skrin untuk digunakan.
Skrin dalaman pula sebesar 8.03″ LTPO OLED+ 1916 x 2160 piksel, 120Hz, HDR10+ dan Dolby Vision. Cubaan menonton YouTube amat memuaskan dan saya yakin jika menonton video di Netflix juga akan memberikan pengalaman lebih kurang sama.
Paling penting saya rasakan adalah kesan lipatan di skrin dalam tidak begitu ketara dan apabila menatal ia tidak begitu diserdari oleh hujung jari. Xiaomi juga tidak menggunakan pelindung skrin jenis lembut atau gel yang tidak memberikan rasa risau.
PENGGUNAAN
Xiaomi MIX Fold 3 seperti peranti Xiaomi lain menjalankan MIUI 14 berasaskan Android 13. Kali ini adalah MIUI Fold 14 yang dioptimasikan untuk skrin boleh-lipat. Tidak mengejutkan yang sekali lagi MIUI versi China mengukirkan senyuman pada wajah saya kerana amat lancar, pantas dan seronok digunakan jauh berbeza dengan MIUI versi global.
Semasa saya membelek-belek MIX Fold 3 saya dapati Xiaomi cuba yang terbaik untuk menjadikan peranti mereka ini antara yang terbaik pernah mereka hasilkan. Semua tetapan khas untuk ciri telefon lipat dikumpulkan dalam satu tempat.
- Floating windows
- Ciri menggunakan tetingkap terapung, pelbagai kawalan dan tetapan disediakan.
- After folding
- Tetapan untuk menetapkan ciri continuity aktiviti skrin dalam ke luar atau sebaliknya.
- Wallpapers for foldable devices
- Gambar latar dengan animasi khas untuk skrin dalam.
- Keyboards for foldable devices
- Papan kekunci Xiaomi sendiri lebih lancar dan hebat berbanding Gboard.
- App layouts
- Pengguna boleh pilih sendiri bagaimana sesuatu aplikasi dipaparkan.
- Game layouts
- Sama di atas, cuma dengan mod permua.
- Hover mode
- Flex Mode versi Xiaomi, terhad kepada kamera dan aplikasi di China sahaja.
Saya tidak berkesempatan menguji permua kerana sesi ujian yang pendek. Dalam penggunaan singkat saya, peranti telah menggunakan 3GB RAM maya menjadikan jumlah memori keseluruhan adalah 15GB. Ada sedikit masalah pemanasan berlaku untuk tugasan yang ringan dan peranti mula menghalami isu lengah masa secara tiba-tiba.
Besar kemungkinan kerana MIUI Fold 14 masih tidak menerima kemas kini terkini. Dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 dan memori yang boleh ditambah sehinggai 19GB RAM secara maya, di atas kertas peranti sepatutnya tidak memaparkan isu lengah masa.
KAMERA
Pertama kali dalam sejarah telefon skrin boleh-lipat, sistem kuad kamera digunakan. MIX Fold 3 hadir dengan kamera belakang yang menggabungkan lensa sudut lebar 50MP IMX800, f/1.77, OIS, lensa ultra sudut lebar 12MP f/2.2, lensa telefoto 3.2X zum 10MP, f/2.0, OIS dan lensa telefoto 10MP f/2.92 periskop OIS. Dua kamera swafotonya pula sebesar 20MP.
Xiaomi menggunakan strategi sama dengan Samsung di mana telefon lipat tidak menggunakan kamera peranti mercu supaya jualan Xiaomi 13 Ultra tidak terjejas. Spesifikasi kamera MIX Fold 3 lebih kurang sama dengan Xiaomi 13 tetapi dengan satu sensor telefoto tambahan sahaja.
Persamaan paling ketara adalah mod potret yang tidak begitu kemas tetapi mod Leica cuba memberikan hasil yang terbaik. Fokus juga tidak begitu konsisten dan zum yang tidak begitu memuaskan walaupun ada dua sensor telefoto. Lain-lain memang mirip Xiaomi 13 dengan HDR yang terang, butiran yang dipelihara, warna yang cantik dan dalam serta mempunyai hasil yang sedap mata memandang.
BATERI
MIX Fold 3 menggunakan bateri berkapasiti 4800mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W. Setakat ini Vivo X Fold2 kekal sebagai peranti skrin boleh-lipat dengan pengecasan terpantas iaitu 120W. Xiaomi turut menyertakan pengecasan nirwayar 50W dan nirwayar berbalik. Ketika sesi ujian saya sedari tahap bateri turun daripada 50% ke 30% selepas dua jam penggunana yang ringan. Maka ini memberikan impresi bahawa bateri MIX Fold 3 tidak begitu bertahan lama.
APA ADA DALAM KOTAK?
Berikut adalah apa yang ada dalam kotak dengan setiap pembelian Xiaomi MIX Fold 3 di China;
- 1x Xiaomi MIX Fold 3.
- 1x Kerangka pelindung plastik keras.
- 1x Pengecas 67W.
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Pin SIM.
- 1x Set buku panduan dan keselamatan.
KESIMPULAN
Xiaomi MIX Fold 3 pada hemat saya ialah telefon skrin boleh-lipat yang hampir sempurna kerana kombinasi rekabentuk yang praktikal dan kemampuan kamera yang memuaskan. MIX Fold 3 hadir dengan skrin yang terbaik dari segi kecerahan, warna dan kesan lipatan yang tidak begitu jelas. Kemudian speaker hebat, kamera tidak mengecewakan, bateri besar dengan pengecasan pantas dan MIUI for Fold yang lancar.
Cuma sayang sekali, selepas tiga generasi MIUI for Fold masih kekurangan ciri telefon lipat. Misalnya saya tidak menemui taskbar, tiada kawalan drag & drop dan penggunaan multi-tugasan yang kurang lancar. Walau bagaimanapun Xiaomi berjaya menawarkan ciri continuity yang bagus dari skrin dalam ke luar atau sebaliknya. Harapan saya adalah MIX Fold 4 jika dijual di Malaysia saya ingin harga kurang RM6000 dan perisian yang sama dengan MIUI pada Xiaomi Pad 6.
PRO
- Rekaan telefon lipat paling cemerlang selepas Oppo.
- Telefon lipat pertama dengan kuad-kamera Leica.
- Skrin cantik, pantas dan memuaskan.
- Speaker yang mengasyikkan.
- Kesan Lipatan tidak begitu jelas.
KONTRA
- Kamera ada masalah autofokus tidak konsisten.
- Masalah memanas tanpa sebab.
- MIUI for Fold tidak cukup matang untuk telefon lipat.
- Tidak dijual di Malaysia.