Apabila melancarkan sistem operasi baharu isu utama ialah memberikan pilihan aplikasi kepada pengguna. Selalunya masa yang lama diambil kerana keperluan memujuk pembangun untuk menawarkan aplikasi mereka pada platform baharu. Kepada orang ramai yang ingin membeli set kepala Apple Vision Pro, mereka tidak akan mempunyai isu tiada aplikasi kerana Apple mengesahkan aplikasi iPhone dan iPad boleh digunakan terus tanpa perlu diubahsuai.
App Store akan mula diberikan dalam visionOS Beta bermula musim luruh ataupun sekitar Oktober depan. Menerusi stor aplikasi ini, jutaan aplikasi yang sudahpun tersedia boleh dimuat turun dan dipakai dalam dunia VR dan AR Vision Pro.
Kepada pembangun mereka tidak perlu menerbitkan aplikasi untuk Vision Pro secara manual. Sebarang aplikasi mereka akan terus ditawarkan dalam App Store visionOS secara automatik. Mereka turut boleh menguji aplikasi dalam simulator visionOS menerusi Xcode 15 Beta sekarang untuk melihat sama ada ia benar-benar sesuai digunakan.