Carian
Huawei Mate X5 Kini Rasmi – Seakan Tiada Beza Dengan Mate X3
September 8, 2023 Fahim Zahar

Hari ini Huawei secara mengejut telah melancarkan telefon lipat generasi baharu mereka, Huawei Mate X5. Peranti ini adalah pengganti kepada Mate X3 yang telah kami uji baru-baru ini, iaitu sebuah telefon dengan skrin boleh-lipat yang cukup baik.

Skrin luar Mate X5 adalah 6.4-inci OLED LTPO FHD+ 120Hz, skrin dalam pula adalah 7.85-inci OLED LTPO 2496 x 2224 piksel dan kedua-dua skrin menyokong pemalapan PWM frekuensi-tinggi 1440Hz. Terdapat dua variasi peranti, Mate X5 dengan kaca Kunlun dan Mate X5 Collector’s Edition dengan kaca Kunlun Basalt.

Huawei merahsiakan cip yang digunakan, tetapi besar kemungkinan adalah Kirin 9000s yang sama pada Mate 60 Pro. Memori adalah sehingga 16GB RAM dengan storan dalaman mencapai 1TB dengan sokongan kad memori NM sehingga 256GB.

Untuk kamera, Huawei menggunakan sistem XMAGE yang menggabungkan tiga sensor iaitu 50MP sudut lebar + 13MP sudut ultra-lebar + 12MP periskop 5x zum optikal dan sistem penstabilan AIS. Kamera swafoto adalah 8MP sahaja. Aplikasi kamera Mate X5 turut menyokong pelbagai mod rakaman seperti High Pixel Mode, Time-Lapse, Super Large Wide Angle dan banyak lagi.

Huawei Mate X5 dilengkapi dengan bateri 5060mAh dengan pengecasan pantas 88W. Untuk perlindungan peranti ini diiktiraf dengan IPX8 sahaja. Bluetooth 5.2, USB 3.1 GEN1, dan NFC. Kerana cip masih lagi misteri tidak diketahui sama ada sokongan 5G diberikan. Yang sah disertakan ialah sistem komunikasi satelit ketika kecemasan.

Peranti ini turut menjalankan sistem operasi baharu HarmonyOS 4. Rekaan masih lebih kurang sama dengan Mate X3, begitu juga bonggol kamera XMAGE. Ini bermakna Mate X5 masih lagi antara telefon lipat ternipis dunia (di belakang Honor).

Huawei Mate X5 buat masa ini dijual di China sahaja. Terdapat empat pilihan warna iaitu feather sand white, feather sand black, feather gold, green mountain dai atau phantom purple. Harga jualan buat masa ini masih belum didedahkan lagi.

Komen