Cari @ Amanz

Biasanya apabila peranti dengan skrin boleh-lipat tiba ke Makmal Amanz, pasti ketua editor kami Effi akan mengujinya. Lihat sahaja ulasan Tecno Pahntom V Fold, Oppo Find N2, Vivo X Fold2 atau juga Samsung Galaxy Z Fold4. Saya pernah mencuba beberapa dengan pengalaman terbaik saya setakat ini adalah dengan peranti Samsung sahaja. Untuk Oppo, walaupun saya kata rekaan Find N itu paling masuk akal saya tidak menggemari perisian yang digunakan.

Baru-baru ini Huawei Mate X3 telah mula dijual di Malaysia pada harga mencecah RM8888 dan saya cuba memberanikan diri menjadikan peranti ini sebagai peranti harian saya. Bukan itu sahaja, saya juga bergantung sepenuhnya kepada HMS dan tidak menggunakan mana-mana aplikasi Google.

Adakah peranti yang berharga hampir RM9000 ini berbaloi untuk dimiliki? Untuk siapakah peranti ini sesuai digunakan? Apa pula kelebihan dan kekurangannya? Artikel ulasan ini akan menjawab semua persoalan berdasarkan pengalaman penggunaan selepas beberapa minggu.

SPESIFIKASI

Huawei Mate X3
SkrinLuar – 6.4″ OLED, LTPO 120Hz
Dalam – 7.85″ OLED, LTPO 120Hz
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 4G (4nm)
Cip1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12 Gigabyte LPDDR5
Muatan Dalaman512GB UFS 3.1
(kad SD NM 256GB)
Kamera Utama50MP Ultra Vision, f/1.8 
13MP Ultra-Wide Angle, f/2.2
12MP Periscope Telephoto 5x, f/3.4, OIS
Video 4K, Master AI, 4D Predictive Focus
Kamera Depan8MP, f/2.4 (Depan)
8MP, f/2.4 (Dalam)
Video 4K, Intelligent Field Of View
Bateri4800 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar 50W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano / 4G
NFCYa
Infra MerahYa
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanCap jari terbina sisi
Harga JualanRM8888 (12/512 GB)

SKRIN

Skrin luar Huawei Mate X3 adalah dari panel OLED LTPO bersaiz 6.4″ yang menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz bergantung kepada aktiviti yang dilakukan. Skrin ini memberikan pengalaman penggunaan terbaik seakan telefon pintar biasa. Langsung tiada isu membuka aplikasi, video yang dimainkan juga cantik, selesa ketika menaip dan setiap tatalan adalah lancar. Di skrin terdapat lubang di tengah untuk kamera swafoto.

Skrin di dalam pula adalah 7.85″ OLED 120Hz. Sedikit mengecewakan kerana bukan panel LTPO, tetapi Huawei menggunakan perisian untuk kadar segar semula adaptif. Seperti skrin luar, di dalam juga ada lubang untuk kamera swafoto cuma terletak di hujung atas pula. Jelas di sini kebanyakan peranti dengan skrin boleh-lipat keluaran China masih tidak bersedia menggunakan kamera di bawah skrin seperti Samsung Galaxy Z Fold4.

Isu yang biasa didengari pada peranti seperti ini adalah kesan garis lipatan. Untuk Mate X3 sukar untuk saya beri penilaian kerana peranti yang diterima adalah unit demo. Apa yang boleh saya katakan adalah minggu pertama memang tidak begitu jelas dan selepas tiga minggu menggunakan peranti ini kesan lipatan dengan tiga garis jelas kelihatan. Walaupun begitu, engsel pada peranti masih kukuh dan tidak rasa semakin longgar seperti beberapa peranti pesaing.

BIOMETRI

Untuk sistem biometri, Huawei masih menggunakan pengimbas cap jari di sisi yang terbina pada butang kuasa. Biasanya ini kaedah yang saya sukakan kerana pantas. Dukacita di maklumkan, jari saya jarang dapat dikesan dan sepanjang penggunaan 90% saya menyahkunci peranti dengan pin sahaja. Saya masih teruja melihat Vivo X Fold2 yang berjaya meletakkan sistem biometri di bawah skrin.

REKAAN

Dalam banyak-banyak peranti skrin boleh-lipat, rekaan Mate X3 adalah kedua yang saya sukakan selepas Oppo Find N/N2. Ia tidak begitu tirus, selesa di dalam tangan, apabila dilipat nipis seakan peranti biasa dan tidak mempunyai rongga kosong apabila dilipat. Apabila disimpan dalam kocek saya tiada masalah meletakkan dua peranti sekaligus.

Butang kuasa merangkap pengimbas cap jari berada di “pintu” kanan bersama dengan butang laras suara. Walaupun ini adalah kedudukan butang yang baik tetapi rekaan nipis membuatkan saya kerap menekan pada bahagian kiri. Ini menyebabkan saya lebih banyak menghabiskan masa dalam keadaan peranti terbuka.

Talam SIM berada di sisi bawah pintu kiri. Di bawahnya pula ada lubang mikrofon dan kekisi speaker sama seperti di atas. Pada bahagian kanan selain butang-butang, di bawah terdapat port USB-C dan di atas terletaknya sensor infra merah.

Engsel tidak ada apa-apa tulisan dan kemasan juga jenis licin. Panel di belakang pula menggunakan kemasan kusam yang memudahkan peranti untuk dikendalikan dan mempunyai cengkaman yang baik di dalam tangan. Peranti ini amat selesa digunakan tidak kira dalam keadaan dilipat atau terbuka.

Di panel belakang turut terdapat bonggol kamera besar yang kelihatan seperti Oreo Double Stuff. Terdapat empat kamera daripada sensor 50MP Ultra Vision, f/1.8 +13MP sudut ultra-lebar, f/2.2 + 12MP telefoto periskop, f/3.4, OIS + sensor fokus istimewa. Lampu LED flash turut kelihatan bersama-sama dengan label XMAGE. Untuk kamera swafoto kedua-dua di dalam dan di luar menggunakan sensor 8MP, f/2.4 yang menyokong pelbagai mod menarik termasuk rakaman video 4K.

Satu perkara lain yang membuatkan saya semakin jatuh cinta kepada Huawei Mate X3 adalah ia menggunakan kaca Kunlun di luar yang tahan lasak. Sudah beberapa kali peranti jatuh masih tiada apa-apa kesan calar atau retak. Kemudian ciri yang pada saya wajib disertakan iaitu penarafan kalis air IPX8 yang menambah lagi keyakinan saya menggunakan peranti ini di mana-mana pada bila-bila masa.

PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN

Kali terakhir saya menggunakan peranti Huawei adalah P40 Pro+ di mana ketika itu saya pertama kali menggunakan sistem HMS sepenuhnya tanpa bergantung kepada GMS. Sama juga pada Mate X3 saya tidak memasang Lighthouse yang mencurigakan, saya tidak menggunakan mana-mana perkhidmatan Google kecuali enjin carian. Pada Mate X3 peranti menjalankan EMUI 13.1 yang dibina berasaskan Android 12.

Tiada lagi HarmonyOS kerana banyak ciri dan fungsi yang terhad di China sahaja. Masalah pada peranti ini adalah walaupun Huawei menggunakan Android, agak mengecewakan mereka tidak menggunakan kod AOSP Android 12L atau Android 13 yang sesuai untuk peranti boleh-lipat.

Dalam mod tablet terdapat taskbar yang dipecahkan kepada dua bahagian. Ini adalah sistem Huawei yang tersendiri yang saya terkejut ia mudah digunakan. Bahagian pertama adalah aplikasi kegemaran pengguna dan kedua pula adalah aplikasi yang telah dibuka. Keseluruhan sebanyak sepuluh aplikasi boleh muncul padanya.

Masalah pada taskbar ini pada saya adalah ia tidak menyokong kawalan gestur seperti Samsung. Hanya aplikasi Huawei sahaja itu pun jika ikon ada garis sahaja. Kawalan gestur lain seperti drag & drop dari taskbar ke skrin atau untuk membuka dua aplikasi terus tidak disokong. Sebaliknya saya perlu buka satu aplikasi terlebih dahulu, kemudian saya perlu tatal kanan ke kiri untuk mengakses talam aplikasi khas dan barulah pilih aplikasi untuk multi-tugasan.

Tetapi aplikasi kedua itu masih berada dalam mod tetingkap terapung. Saya perlu drag & drop sekali lagi untuk dua aplikasi dipaparkan dalam dua tetingkap.

Harus diakui yang menggunakan HMS sepenuhnya bukanlah pilihan yang yang teruk. Saya hanya merindui YouTube dan Google Photos. Kebanyakan aplikasi lain seperti Facebook, Netflix, Twitter dan banyak lagi tiada masalah digunakan apabila data dipindahkan dari peranti lama.

Saya suka apa yang Huawei lakukan pada EMUI 13.1 lebih-lebih lagi pada skrin utama. Sokongan widget yang menarik, folder yang boleh ditukar saiz, ikon aplikasi Huawei pintar kerana boleh tatal untuk akses pantas, pengurus fail yang cukup bagus dan yang paling penting ekosistem seakan menggunakan produk Apple.

Setiap hari kerja-kerja yang saya lakukan adalah dengan Huawei Matebook 14s dan produk audio pula Huawei Freebuds 5. Apabila digunakan bersama-sama Mate X3 tahap produktiviti saya semakin efisien, kerja lebih mudah dilakukan dan semuanya lebih terurus. Saya tidak perlukan Google Photos kerana fail dari telefon boleh terus di hantar ke laptop dengan pantas. Boleh lakukan paparkan skrin telefon ke laptop, boleh guna satu TWS ke dua peranti serentak dan banyak lagi.

Terdapat tiga isu serius apabila saya menggunakan peranti ini. Pertama adalah ciri “Flex Mode”. Tidak banyak fungsi menarik boleh digunakan pada peranti seperti pada Samsung Galaxy Z Fold4. Malah Z Flip4 yang saya ulas juga mempunyai perisian yang lebih baik. Menggunakan peranti ini seakan menggunakan Oppo Find N yang banyak menyokong perkhidmatan dan aplikasi di China sahaja. Tetapi saya yakin Huawei boleh menjadikan mod ini lebih baik di masa akan datang jika benar mereka ingin bersaing dengan Samsung.

Kedua pula adalah masalah storan yang berlaku secara rawak. Sepanjang tiga minggu menggunakan peranti ini, seminggu sekali pasti akan berlaku di mana peranti tidak dapat mengesan storan dalaman. Saya tidak boleh menggunakan Huawei Share, saya tidak boleh muat turun fail dan saya juga tidak boleh memindahkan apa-apa data dari komputer ke peranti atau sebaliknya. Ini adalah pertama kali saya menghadapi isu seperti ini yang saya merayu kepada Huawei tolonglah edarkan kemas kini untuk membaiki masalah ini.

Akhir sekali adalah gedung aplikasi. Huawei AppGallery tidak mempunyai banyak aplikasi yang saya kerap gunakan. Ini memaksa saya menggunakan Petal Search yang mana penuh dengan iklan. Bukan itu sahaja, apabila saya ingin pasang aplikasi ia perlu dilakukan secara manual. Tekan pasang, kemudian peranti akan memuat turun fail APK dan saya perlu tekan sekali untuk memasangnya. Perkara ini bukan sahaja berlaku apabila baru pertama kali ingin memasang aplikasi tetapi turut berlaku setiap kali saya ingin mengemaskini aplikasi.

PENANDA ARAS

Tidak dinafikan cip Snapdragon 8+ Gen 1 adalah antara yang terbaik di pasaran sekarang. Ia stabil, tiada masalah pemanasan, penggunaan kuasa yang efisien dan prestasi yang memuaskan. Mate X3 walaupun ada masalah perisian, ia tidak mempunyai masalah prestasi. Saya telah bermain PUBG Mobile, Marvel SNAP dan Asphalt 9 semuanya berjalan dengan lancar dan tiada masalah bermain pada tetapan grafik tinggi. Lebih menarik walaupun sudah 2 jam bermain tanpa henti peranti masih tidak memanas.

Bagaimana pula prestasi peranti ini jika dibandingkan dengan peranti pesaing? Saya lakukan ujian AnTuTu 3D dan Geekbench 6 sahaja untuk adil kerana Mate X3 tidak menyokong 3DMark. Berikut adalah perbandingan skor;

Geekbench 6

  • Huawei Mate X3 – 1746/4379
  • Vivo X Fold2 – 1854/5318
  • Tecno Phantom V Fold – 1238/3776
  • Honor Magic Vs – 1276/3822
  • Oppo Find N2 Flip – 1028/3088
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1422/3764
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Huawei Mate X3 – 1,131,954
  • Vivo X Fold2 – 1,559,200
  • Tecno Phantom V Fold – 994,304
  • Honor Magic Vs – 804,494
  • Oppo Find N2 Flip – 756,646
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Walaupun Huawei Mate X3 tidak mempunyai skor terbaik tetapi peranti ini masih berada dalam kedudukan tiga teratas. Ujian Geekbench 6 meletakkan peranti ini di tempat ketiga sementara ujian AnTuTu 3D di tempat kedua. Ini adalah skor yang cukup baik dan tiada masalah untuk peranti beroperasi pada prestasi baik untuk sekurang-kurangnya 2-3 tahun lagi.

TELEFONI Dan GPS

Walaupun peranti menggunakan cip Snapdragon 8+ Gen 1, Mate X3 menggunakan cip istimewa iaitu edisi 4G. Saya tiada ada masalah dengan perkara ini kerana menggunakan pelan Maxis yang masih tidak menyokong 5G di Malaysia. Sambungan 4G walau bagaimanapun cukup pantas dan stabil. Untuk panggilan telefon peranti ini mampu memberikan kualiti audio terbaik.

Apa yang membuatkan saya terkejut adalah prestasi GPS Mate X3 apabila digunakan bersama Petal Maps. Peranti tidak menyokong Google Maps atau Waze, tetapi nasib baik aplikasi peta Huawei ini mempunyai kemampuan mengunci lokasi yang pantas dan mampu memberikan arahan selok-belok yang baik dengan rekaan antaramuka yang cantik dan sedap memandang.

KAMERA

Saya agak skeptikal apabila Huawei mula mengumumkan XMAGE sebagai teknologi kamera tersendiri dan tidak lagi bekerjasama dengan Leica. Tetapi selepas melihat hasil pada Huawei P60 Pro yang sangat hebat lagi-lagi pada waktu malam saya terus yakin yang Mate X3 sepatutnya mempunyai kamera yang hebat. Lagi-lagi harga jualan menghampiri RM9000.

Kamera peranti ini dilengkapi dengan sensor 50MP Ultra Vision, f/1.8 + 13MP sudut ultra-lebar, f/2.2 + 12MP periskop telefoto 5x, f/3.4, OIS dan dua kamera swafoto 8MP di depan dan di dalam. Peranti turut hadir dengan sensor fokus khas untuk memastikan imej yang lebih baik.

Antara fungsi menarik pada kamera ini adalah rakaman gerak perahan, panorama, monokrom, lensa AR, light painting, Super Macro, Snapshot, Hi-Res, Story Creator, potret, mod malam, mod aperture, pilihan profil warna Vivid, Original atau Bright dan banyak lagi.

Mod monokrom
Mod malam

Kamera utama peranti ini mampu menghasilkan imej yang cantik dan terang. Kualitinya memang tinggi dan sedap mata memandang. Butiran juga berjaya dipelihara dengan baik dengan warna yang hidup yang cuba memberikan imej dinamik tinggi terbaik. Profil warna Vivid, Orignal dan Bright memang membantu bergantung kepada situasi.

Hasil imej potret juga memuaskan dengan kesan bokeh yang kemas, subjek yang jelas kelihatan kerana sistem fokus generasi baharu. Pelbagai mod menarik dalam kamera ini yang pasti akan mengingatkan anda kembali zaman keagungan peranti Huawei P30 dahulu.

Mod auto
Swafoto kamera belakang
Mod Super Macro
Mod auto

Sudah semestinya saya akan mencuba kemampuan sudut ultra-lebar dan zum. Di bawah ini adalah imej di lokasi sama dan sudut sama menggunakan empat mod berbeza iaitu 0.5x, 1x, 5x dan 10x. Jika anda lihat imej di bawah hasil yang dikeluarkan cukup menakjubkan. Dari segi butiran pada imej zum pula, walaupun Mate X3 boleh ambil gambar bulan ia masih tidak sehebat teknologi Space Zoom oleh Samsung lagi.

0.5x
1x
2x
5x
10x

BATERI

Percaya atau tidak saya amat berpuas hati dengan ketahanan bateri peranti ini. Ia mampu beroperasi sehingga 10 jam SOT untuk penggunaan yang sangat ringan. Ini boleh dicapai jika majoriti penggunaan adalah dalam keadaan tertutup dan tidak bermain permua. Apabila kerap menggunakan dalam keadaan terbuka 8 jam SOT tiada masalah untuk dicapai. Akan tetapi main sahaja permua walaupun hanya 30 minit, ketahanan bateri terus menurun ke sekitar 4-5 jam SOT.

Huawei Mate X3 menyokong pengecasan berwayar 66W yang mengambil masa selama 45 minit untuk dicas sehingga penuh. Bukan yang terpantas di pasaran tetapi cukup pantas untuk tidak risau bateri akan cepat habis selepas 10 minit pengecasan. Mate X3 turut boleh dicas secara nirwayar pada kadar 50W dan peranti itu sendiri boleh menjadi bekalan kuasa kepada TWS atau telefon lain melalui pengecasan nirwayar berbalik 7.5W.

AUDIO

Huawei masih menggunakan teknologi audio Huawei Histen dengan ciri Sound Booster untuk memberi kualiti audio terbaik pada sebuah peranti premium. Hasil audio pada peranti ini cukup sedap, lantang dan enak apabila mendengar muzik pada Spotify. Malah menonton filem juga cukup menarik lagi-lagi genre aksi kerana dentuman bass yang memuaskan.

Cuma dengan kedudukan speaker di pintu kiri, audio yang dikeluarkan tidak seimbang apabila peranti dibuka. Ia seakan mendengar audio pada speaker mono. Ini bermakna untuk kualiti audio terbaik Mate X3 harus digunakan dalam keadaan ditutup untuk keseimbangan audio.

PESAING

Huawei Mate X3Samsung Galaxy Z Fold4Honor Magic Vs
Luar – 6.4″ OLED, LTPO 120Hz
Dalam –
7.85″ OLED, LTPO 120Hz
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED, 90Hz, HDR10+
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1x 3.19 GHz Cortex-X2
3x 2.75 GHz Cortex-A710
4x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
12 GB LPDRR512 GB LPDRR512 GB LPDRR5
512 GB UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 3.1512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP Ultra Vision, f/1.8 
13MP Ultra-Wide Angle, f/2.2
12MP Periscope Telephoto, f/3.4, OIS
Video 4K, Master AI, 4D Predictive Focus
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
54MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS
8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
50MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
8-MP f/2.4 (Depan)
8-MP f/2.4 (Dalam)
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
16-MP f/2.6
16-MP f/2.6
IPX8IPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4800 mAh (Berwayar 66W)4400 mAh (Berwayar 25W)5000 mAh (Berwayar 66W)
Harga RM 8888 (12/512 GB))RM 6799 (12/256GB)
RM 7299 (12/512GB)
RM 8299 (12/1000GB)
Harga RM 5999

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Huawei Mate X3.
  • 1x Kerangka plastik.
  • 1x Pengecas 66W.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Huawei Mate X3 adalah peranti skrin boleh-lipat paling mahal di Malaysia sekarang. Selepas tiga minggu menggunakannya saya boleh katakan ini mungkin yang terbaik pernah saya gunakan untuk peranti kategori ini. Betul, EMUI 13.1 tidak cukup menarik untuk produktiviti kerana melecehkan.

Tetapi apa yang membuatkan saya selesa dan sayangkan peranti ini adalah saya bebas daripada Google yang mana tidak dinafikan perkhidmatan GMS banyak membuatkan saya lalai seperti YouTube, YouTube Music, Google Play Games, Google TV, pelbagai permua di Play Store semuanya membuatkan saya hilang fokus. Tetapi Mate X3 seakan membuatkan saya boleh lebih khusyuk melakukan kerja. Lagi-lagi saya yang menggunakan Matebook 14s yang melengkapkan lagi ekosistem Huawei.

Dengan kamera yang hebat, prestasi yang menakjubkan, ketahanan bateri yang memuaskan ini adalah pengalaman penggunaan peranti Huawei yang menyeronokkan. Tetapi disebabkan penawaran aplikasi yang terhad dan banyak bergantung kepada APK sukar untuk saya sarankan peranti ini ke orang ramai. Jika anda kaya sekalipun, untuk pengalaman yang terbaik dan memuaskan saya amat galakkan membeli Samsung Galaxy Z Fold4.

Z Fold4 dengan storan yang sama Mate X3 iaitu 12/512 GB berharga RM6699 dan anda ada baki RM2189 lagi untuk membeli Galaxy Watch5 dan Galaxy Buds2 Pro untuk melengkapkan ekosistem dan pengalaman penggunaan peranti skrin boleh-lipat terbaik.

Pro

  • Skrin luar dan dalam yang cantik, terang dan pantas.
  • Snapdragon 8+ Gen 1 yang masih berkuasa dan tiada masalah pemanasan.
  • Rekaan adi-nipis dengan peranti boleh tutup rapat.
  • Kamera yang hebat dan menakjubkan.
  • Peranti selesa digunakan dan mudah dikendalikan.
  • Kalis air IPX8.

Kontra

  • Skrin dalam tiada sokongan LTPO 120Hz.
  • Ciri Flex Mode yang menarik tidak boleh digunakan.
  • Perisian yang tidak padan dengan harga premium.
  • Speaker tidak seimbang kerana sebelah sahaja.
  • Harga jualan yang kurang kompetitif.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd