Carian
Mobvoi Dilihat Menarik Diri Daripada Pasaran Malaysia
September 12, 2023 Fahim Zahar

Mobvoi iaitu pengeluar jam tangan pintar TicWatch mencipta nama menerusi jam Wear OS pada harga yang mampu milik. Mereka ada pelbagai jam tangan pintar, produk audio dan juga lampu pintar. Merka sudah bertahun lamanya bertapak di Malaysia tetapi baru-baru ini dalam semakan saya Mobvoi mungkin telah menarik diri daripada pasaran Malaysia.

Sejak TicWatch Pro 5 diperkenalkan, jam ini tidak menarik perhatian ramai kerana harga yang semakin mahal dan tali jam yang aneh kerana saiz yang tidak sama dengan jam Wear OS lain. Malah kedai rasmi Shopee mereka iaitu Mobvoi.OS turut telah ditukar kepada Smart Style Design.

Shopee Mall mereka pula telah lama berada dalam mod bercuti dan promosi terakhir adalah Disember 2022. Kedai-kedai lain yang pernah mengedarkan jam TicWatch dilihat kini hanya menawarkan jam model lama dan produk Mobvoi yang tidak lagi dijual secara rasmi. Malah wakil media mereka yang memberi kami unit untuk diuji turut tidak lagi menguruskan jenama ini.

Buat masa ini jika anda masih berminat dengan jam TicWatch, laman web rasmi mereka adalah jalan paling selamat untuk membeli. Cuma nanti ketika ingin menuntut jaminan, ia akan menjadi sedikit leceh seperti beberapa tahun lepas sebelum Mobvoi hadir di Malaysia secara rasmi.

Komen