Cari @ Amanz

Minggu lalu muncul laporan kerajaan China mengeluarkan arahan mengharamkan penggunaan iPhone dan peranti keluaran negara luar oleh penjawat awam, kakitangan agensi kerajaan serta syarikat milik kerajaan. Semalam menurut Bloomberg, jurucakap Kementerian Luar Negara China, Mao Ning menafikan pula laporan ini.

Sungguhpun beliau turut berkata China meletakkan kepentingan yang tinggi terhadap sekuriti dan kesemua syarikat luar perlu mematuhi undang-undang dan garis panduan negara. Walau bagaimanapun Mao Ning mengatakan China menyedari terdapat laporan media mengena insiden sekuriti melibatkan peranti Apple.

Apabila laporan asal larangan tular di media sosial, reaksi pengguna di China adalah positif dengan ramai mengatakan rakyat perlu patriotik serta menyokong produk keluaran tempatan. Saham Apple menjunam sedikit disebabkan laporan yang sama kerana China ialah pasaran yang menyumbang 20% pendapatan Apple khususnya jualan iPhone.

Pada waktu ini hanya Rusia mengesahkan mereka melarang penggunaan iPhone oleh penjawat awam selepas mereka dikenakan sekatan oleh negara Barat selepas serangan ke atas Ukraine. Kremlin mendakwa Apple bersekongkol dengan kerajaan Amerika untuk mengintip pengguna iPhone di Rusia.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd