Google Play Store semakin hari semakin aneh. Baru-baru ini iklan yang semakin banyak dipaparkan, ciri seakan Stories, dan masalah kredit Google Play yang tidak boleh digunakan. Bagaimana Google ingin memastikan pengguna kekal setia pada gedung aplikasi mereka dan tidak menggunakan APK atau gedung aplikasi lain?
Terbaru, Android Police telah menemui ciri menarik yang sedang dibangunkan Google untuk mengubah keseluruhan Play Store menjadi gedung aplikasi generasi baharu. Pertama adalah ciri yang dinamakan sebagai Cube. Ciri ini dikatakan mungkin untuk memberi cadangan kepada pengguna penawaran aplikasi terkini yang popular dalam antaramuka yang lebih moden. Google turut sedang menguji widget baharu yang mempunyai kategori aplikasi, muzik, permua, makanan, sosial dan video.
Kedua adalah Download Buddy atau “rakan muat turun”. Selepas memasang sesuatu aplikasi, sebuah tetingkap kecil akan memaparkan status muat turun dan pemasangan aplikasi. Pengguna tidak lagi perlu ke laman aplikasi atau semak di talam notifkasi untuk mengetahui status aplikasi tadi. Tetingkap ini turut boleh disembunyikan di sisi skrin.
Ketiga pula adalah peringatan membuka aplikasi yang sudah dipasang tetapi lama tidak dibuka. Terakhir sekali adalah penuras yang boleh memaparkan aplikasi di Play Store mengikut kategori peranti seperti telefon, jam, tablet dan lain-lain dengan lebih mudah.
Kebanyakan ciri ini masih lagi dalam pembangunan dan tidak pasti bila ia akan dilancarkan. Google jelas sekali ingin memastikan Play Store adalah gedung aplikasi utama Android dan inginkan pengguna mereka kekal setia padanya dengan menawarkan sejumlah ciri dan fungsi yang menarik perhatian.