Carian
Google Tensor G4 Dilaporkan Tidak Membawa Perubahan Besar
September 18, 2023 Fahim Zahar

Kurang sebulan sahaja lagi siri Google Pixel 8 akan dilancarkan. Peranti ini akan dijana dengan cip Google tersendiri yang dibina bersama Samsung iaitu Tensor G3. Tensor G3 dikatakan akan beroperasi lebih sejuk berbanding Tensor lain kerana  menggunakan Samsung Foundry FO-WLP.

Untuk tahun 2024 kelak, 9to5Google melaporkan yang Google tidak akan membawakan sebarang perubahan besar pada Tensor G4. Kod nama Tensor G4 adalah Zuma Pro dan akan dibina berasaskan rekaan Ripcurrent 24 berasaskan Tensor G3.

Perubahan besar pada cip Tensor hanya akan dilakukan menerusi Tensor G5 pada tahun 2025 nanti yang dijangka akan digunakan pada Pixel X atau Pixel 10. Cip generasi baharu ini adalah rekaan Google sepenuhnya, akan dikilangkan oleh TSMC dan tiada kaitan dengan Samsung.

Tiadanya peningkatan prestasi mendadak pada peranti Pixel bolehlah dianggap mengecewakan. Tetapi Google sudahpun mengatakan Pixel tidak dihasilkan untuk markah penanda aras yang tinggi tetapi sebaliknya untuk kecerdasan buatan (AI).

Komen