Carian
Google – Cip Tensor Dibangunkan Untuk Kecerdasan Buatan Bukan Markah Penanda Aras
October 29, 2022 Effi Saharudin

Dua cip Google Tensor G1 dan Tensor G2 yang digunakan pada pranti Pixel setakat ini mengecewakan pengguna yang mengharapkan prestasi tinggi mengalahkan A16 Bionic dan Snapdragon 8+ Gen 1. Tetapi dalam podsiar Made by Google yang terkini, Monika Gupta yang merupakan pengarah kanan pembangunan Google Silicon memberikan sebab mengapa ini berlaku.

Menurut Gupta, di Google mereka menumpukan untuk membawakan ciri kecerdasan buatan (AI) yang lebih baik pada pada peranti pintar. Dengan melihat kepada keperluan AI pada peranti dalam masa lima tahun akan datang, cip yang memenuhi keperluan Google perlu dibina sendiri. Integrasi perkakasan dan perisian yang baik dilakukan bagi memastikan visi ini dicapai.

Tambah beliau lagi perisian penanda aras sedia ada telah dibangunkan sebelum era penggunaan AI yang meluas pada telefon pintar. Prestasi Tensor sekarang adalah mencukupi untuk keperluan perisian Google.

Pada waktu yang sama Google mempunyai visi keluarga Tensor adalah untuk perkomputeran ambien di mana ia menjadikan kehidupan seharian lebih mudah dalam membantu tugas fotografi, melakukan panggilan telefon dan bagaimana telefon digunakan.

Jadi sebagai kesimpulan Google memberikan tumpuan kepada AI seperti Duplex yang melalukan panggilan telefon bagi pihak pemilik peranti dan menghasilkan gambar lebih baik menerusi fotografi pengkomputeran.

Komen