Kecerdasan buatan (AI) generatif telahpun menyebabkan manusia kehilangan kerja dan dilihat boleh menyebabkan kemusnahan tamadun jika tidak dikekang. Hari ini ada sedikit berita positif mengenai penggunaan AI yang boleh menyelamatkan pula nyawa manusia. Google dan Jabatan Pertahanan Amerika (DoD) dilaporkan telah membangunkan mikroskop dengan AI yang boleh mengesan penyakit seperti kanser dengan lebih pantas.
Sebanyak tiga belas Augmented Reality Microscope (ARM) telah dibangunkan dengan ia kelihatan seperti mikroskop biasa cuma disambung kepada sebuah komputer. Ia melakukan pengesanan secara masa nyata imej yang sedang dilihat di bawah mikroskop. Apabila mengesan sel kanser, ia akan dipaparkan pada skrin dengan garisan lengkap dengan pengelasan tahap keseriusannya.
Dengan ini sel kanser boleh dikesan secara automatik tanpa pembabitan manusia. Pada waktu ini kos menghasilkan sebuah ARM adalah antara $90,000- $100,000. (~RM422,00 – RM470,000) Google berkongsi algoritma yang digunakan untuk pengesanan mitosis, kanser prostat, kanser serviks dan kanser payudara.
Sebelum ini pada tahun 2020, AI Google telah berjaya melakukan pengesanan sel kanser payudara dan AI Microsoft pula melakukan pengesan sel kanser serviks lebih pantas berbanding manusia.