Hari ini semua pengguna iPhone yang layak gembira kerana iOS 17 telah boleh digunakan. Ada banyak ciri dan fungsi yang menarik termasuk dengan penawaran iCloud+ baharu sehingga 12TB. Walau bagaimanapun adakah berbaloi melanggan perkhidmatan storan awanan Apple ini atau lebih baik memilih perkhidmatan lain?
Dalam artikel ini akan saya kongsi perbezaan dan pendapat mengenai beberapa perkhidmatan storan awanan yang saya sendiri pernah gunakan. Anda boleh lihat sendiri yang mana satu lebih berbaloi dan lebih mesra pengguna agar boleh mendapatkan pengalaman penggunaan yang terbaik.
STORAN AWAN | PELAN DAN HARGA |
---|---|
Apple iCloud+ | 5GB – Percuma 50GB – RM3.90 (Sebulan) 200GB – RM11.90 (Sebulan) 2TB – RM44.90 (Sebulan) 6TB – RM129.90 (Sebulan) 12TB – RM269.90 (Sebulan) |
Google One | 15GB – Percuma 100GB – RM8.49 (Sebulan) atau RM84.99 (Setahun) 200GB – RM11.99 (Sebulan) atau RM119.99 (Setahun) 2TB – RM42.99 (Sebulan) atau RM429.99 (Setahun) 5TB – RM107.49 (Sebulan) atau RM1074.99 (Setahun) 10TB – RM214.99 (Sebulan) 20TB – RM429.99 (Sebulan) 30TB – RM644.99 (Sebulan) |
Microsoft OneDrive | 5GB – Percuma 100GB – RM8.90 (Sebulan) 1TB – RM21.90 (Sebulan) 6TB – RM28.90 (Sebulan) |
DropBox | 2GB – Percuma 2TB – RM48.90 (Sebulan) 3TB – RM84.90 (Sebulan) 5TB – RM89.56 (Sebulan) |
iCloud jika dilihat dalam jadual di atas cukup berbaloi. Ini kerana Apple bukan menawarkan storan awan sahaja tetapi turut memberikan akses kepada iCloud Private Relay untuk menyembunyikan emel agar boleh mengelak daripada spam dan menggunakan alamat emel sementara. Selain turut menawarkan HomeKit Secure Video untuk menyulitkan video-video yang dirakam oleh kamera litar tertutup pintar serta mengakses video tersebut di mana-mana.
Berdasarkan pengalaman saya, iCloud tidak cukup mesra pengguna kerana sukar untuk diakses di semua platform. Masa memuat jika mengakses pautan perkongsian iCloud juga sangat perlahan. Kemudian jika mengambil pelan keluarga, kuota storan akan dikongsi dan bukannya tersendiri. Walau bagaimanapun jika anda 100% menggunakan ekosistem Apple, ini adalah pilihan yang baik. Secara peribadi saya memilih Google One.
Ini kerana Google One menawarkan pelan bulanan dan tahunan serta mempunyai storan sehingga 30TB. Paling menarik adalah aplikasi Google One dan Google Drive yang sangat mesra pengguna dan mudah diakses tidak kira di platform Apple, Android atau Windows. Cuma satu perkara saya tidak suka adalah pelan perkongsian keluarga akan menggunakan kuota asal. Google turut memberikan akses kepada khidmat bantuan pelanggan premium di mana jika ada masalah, pelanggan boleh terus melakukan panggilan telefon atau bersembang dengan wakil Google pada kadar yang sangat pantas.
Jika anda inginkan storan paling besar, Microsoft OneDrive adalah paling berbaloi. Ia yang paling murah iaitu RM28.90 sebulan untuk 6TB sedangkan Apple dan Google berharga lebih RM100. DropBox adalah kedua murah tetapi 5TB sudah berharga hampir RM90. Microsoft turut mempunyai aplikasi yang mesra pengguna dan mudah diakses pada komputer Windows.
Akhir sekali adalah DropBox kerana pelan 3TB yang berharga RM84.90 dan platform lain terus menawarkan 5TB ke atas. Untuk lebih jimat, mereka menawarkan pelan keluarga 2TB berharga RM82.90 yang boleh dikongsi kepada 6 orang dan masing-masing akan menggunakan akaun sendiri dan menerima 2TB kerana kuota yang tidak dikongsi. Pelan tahunan turut ditawarkan tetapi terhad untuk langganan melalui web.
Selepas bertahun menggunakan storan awan dan cuba menggunakan pelbagai perkhidmatan, saya mendapati Google One adalah yang terbaik setakat ini. Ini kerana tidak kira anda menggunakan peranti apa sama ada Android, iOS, Windows, macOS dan lain-lain Google One serta Google Drive mudah diakses. Ia pantas, mudah digunakan, diyakini selamat, banyak pilihan storan dan mempunyai langganan yang fleksibel.
Masih ada banyak perkhidmatan storan awan di luar sana. Ada yang berasaskan rantaian blok seperti Internxt pada harga yang sangat mahal, ada yang murah tetapi keselamatan data tidak diyakini ada juga yang percuma jika anda berani. Saya sudah menggunakan perkhidmatan storan awan Google sejak ia dilancarkan pada tahun 2012 dan sehingga hari ini fail saya semuanya selamat, masih boleh diakses dan tidak pernah mempunyai masalah.
Apa kata anda? Mana satu yang anda pilih dan kenapa? Jika anda rasakan ada perkhidmatan storan awan lain yang lebih berbaloi kongsikan di ruangan komen kerana hati saya masih ingin setia dengan Google.