Beberapa minggu lalu, Jabra telah pun melancarkan TWS baharu mereka di Malaysia iaitu Jabra Elite 8. Ia adalah TWS premium yang cukup baik dengan sokongan pembatalan hingar hibrid, Spatial Sound by Dolby, kecil, ringan dan berharga RM1049. Jika anda tertanya mana pula Jabra Elite 10? Hari ini, TWS mercu mereka ini dilancarkan secara rasmi.
Menurut Jabra, Elite 10 adalah TWS mereka yang paling canggih yang pernah dibangunkan. Ia kecil dan kompak dengan teknologi Jabra ComfortFit yang memfokuskan kepada keselesaan, menggunakan putik telinga Jabra EarGels yang dijamin sesuai dengan semua orang. Untuk kualiti audio, Jabra menggunakan pemacu audio 10mm dengan Spatial Sound by Dolby bersama penjejakan kepala seakan audio spatial pada AirPods.
Jabra turut menyertakan teknologi pembatalan hingar aktif baharu iaitu Jabra Advanced Active Noise Cancellation. Ia dua kali ganda lebih kuat dengan bantuan 6 mikrofon yang turut boleh memastikan panggilan telefon yang jelas. Ketahanan bateri pula adalah mencapai 8 jam secara berterusan serta sehingga 36 jam bersama pod pengecasan.
Elite 10 sedia menyokong tambatan pantas Bluetooth 5.3, Google Fast Pair, Micorosft Swift Pair, sambungan ke multi-peranti dan Spotify Tap. Berbeza dengan Elite 8 yang tahan lasak, kalis air dan debu IP68 – Elite 10 terhad kepada IP57 pada fon telinga dan IP54 pada pod pengecasan.
Harga jualan di Malaysia adalah RM1299 dengan pilihan warna Cream, Cocoa, Titanium Black dan Gloss Black. Terus ikuti kami di Amanz untuk ulasan kedua-dua Elite 8 dan Elite 10.