Samsung dan Apple menjual ratusan juta telefon pintar setiap tahun dengan mereka menjadi dua pengeluar terbesar setiap tahun. Pengeluar lain hanya boleh melihat dengan iri hati jualan tinggi yang dicatatkan oleh dua gergasi ini. Menurut laporan daripada IDC, sejak dilancarkan pada tahun 2016 jumlah telefon Pixel yang dijual adalah lebih rendah berbanding satu suku jualan iPhone.
Dianggarkan 37.9 juta telefon Pixel telah dikeluarkan oleh Google sejak tujuh tahun lalu. Jumlah yang amat rendah jika dibandingkan dengan pengeluar lain. Tetapi jualan Pixel semakin meningkat dengan mereka berjaya menjual 7.2 juta peranti tahun lalu. Pasaran terbesar Pixel bukanlah Amerika Syarikat tetapi adalah Jepun.
Isu utama Google Pixel bukanlah ia telefon pintar yang tidak berkuasa tetapi adalah kerana ia tidak dipasarkan secara meluas. Walaupun cip Tensor G3 mereka bukan yang terbaik di pasaran, ramai ingin memiliki Pixel semata-mata untuk kemampuan kameranya. Lebih mengecewakan terdapat banyak ciri eksklusif Pixel hanya boleh dinikmati mereka yang duduk di pasaran tertentu sahaja.
Sekiranya Google Pixel 8 dan Pixel 8 Pro memasuki pasaran Malaysia seperti siri Nexus dahulu adakah anda berminat untuk membelinya?