Selain Cal Kestis, watak robot BD-1 adalah yang menarik dalam siri permainan video Star Wars Jedi Fallen Order dan Jedi Survivor. BD-1 mempunyai perwatakan seperti seekor kucing yang manja dengan ia mampu berinteraksi seperti seorang manusia. Jurutera dari Disney Research telah berjaya menghasilkan BD-1 dengan perwatakannya dibangunkan menggunakan pergerakan yang dihasilkan oleh pakar animasi dan pembelajaran pengukuhan.
Tidak seperti robot biasa, perwatakan BD-1 akan kelihatan lebih hidup kerana diprogramkan oleh juru animasi di Disney. Kemudian menerusi pembelajaran pengukuhan, BD-1 akan memberikan reaksi yang betul apabila berinteraksi dengan manusia. Ia boleh memberikan reaksi seperti gembira, takut, malu-malu dan sebagainya berdasarkan input. Ini dilakukan dengan beberapa komponen seperti antena, mata dan telinga yang bergerak.
Kemampuan robot ini diperlihatkan minggu lalu di acara National Conference on Intelligent Robots and Systems (IROS) yang berlangsung di Detroit Amerika Syarikat. Teknik cetakan 3D digunakan untuk menghasilkan robot ini dengan ia mempunyai kemampuan bergerak empat arah pada kepala dan lima arah pada bahagian kaki bagi membantu ia turut menunjukkan “emosi” menerusi riak tubuh.
Walaupun direka untuk digunakan di taman tema Disney, perekanya melihat kemampuan berinteraksi seakan ianya hidup turut boleh digunakan di dunia sebenar pada robot yang memberikan bantuan kepada manusia. Disney tidak berkongsi sama ada robot ini akan diperkenalkan di taman tema dalam masa terdekat.
Sebelum ini robot yang boleh bangun dengan sendiri, melakukan aksi akrobatik seperti manusia dan kelihatan lebih realistik berbanding animatronik biasa telahpun digunakan di beberapa tarikan di taman-taman Disney.