Carian
Adobe Firefly Dikemaskini Dengan Kebolehan Menjana Imej Lebih Realistik
October 11, 2023 Effi Saharudin

Adobe telah memperkenalkan model baharu untuk kecerdasan buatan (AI) generatif Firefly mereka awal pagi tadi. Dengan ini Firefly boleh menjana imej yang kelihatan lebih realistik jika dibandingkan dengan model yang digunakan sebelum ini. Kemampuan baharu ini boleh dinikmati oleh pengguna perisian Photoshop, Illustrator dan Firefly versi web.

Firefly Image 2 Model dilatih menggunakan lebih banyak gambar daripada Adobe Stock dan pelbagai imej lain yang berlesen. Peningkatan kemampuan menjana dapat dilihat pada wajah, kulit, tubuh dan jari manusia yang selama ini mendatangkan masalah kepada Firefly. Ini sekaligus membolehkan ciri Generative Fill pada Photoshop menjana imej yang kelihatan lebih realistik tanpa kesalahan yang ketara.

Adobe juga mengumumkan sejak dilancarkan enam bulan yang lalu, Firefly telah menjana lebih 3 bilion imej berdasarkan prom yang dimasukkan oleh pengguna. Adobe Firefly boleh diakses percuma oleh pengguna sehingga 1 November dengan kredit yang terhad diberikan kepada Creative Cloud bergantung kepada pelan yang dilanggan.

Komen