Samsung dijangka menggunakan cip Eyxnos 2400 pada Galaxy S24 dan S24+ tahun depan apabila peranti dilancarkan. Berita mengenai penggunaan semula cip Eynos disambut negatif oleh ramai pembaca kerana merasakan cip Snapdragon adalah lebih berkuasa. Semalam markah penanda aras Geekbench untuk Exynos 2400 telah tertiris dengan ia disahkan hadir dengan sepuluh teras CPU.
Ia mencatatkan 2067 markah dalam ujian satu teras dan 6520 markah dalam ujian multi teras. Ini adalah markah lebih tinggi berbanding Snapdragon 8 Gen 2 (1922/5017) dan A16 Bionic (2524/6317) tetapi lebih rendah berbanding A17 Pro (2863/7128).
Konfigurasi teras CPU pada Exynos 2400 pula ialah 1+2+3+4 dengan kelajuan maksimum 3.21GHz. Jenis CPU yang digunakan masih lagi misteri tetapi berkemungkinan besar adalah Cortex X4. Samsung merancang menggunakan cip Exynos yang direka untuk Galaxy menjelang 2025. Kemungkinan besar adalah untuk menawarkan sokongan kemas kini Android dan tampalan sekuriti yang lebih panjang setanding dengan siri Pixel 8 yang disokong tujuh tahun.