Carian
Dengan Penjenamaan Baru, CelcomDigi Memperlihatkan Pelan Masa Hadapan
October 19, 2023 Nazrin

Hari ini, syarikat telekomunikasi CelcomDigi Berhad telah memperlihatkan penjenamaan baru yang terdiri daripada logo gabungan kedua-dua syarikat ini. Celcom dan Digi sebelum ini merupakan dua daripada syarikat telekomunikasi yang terbesar di negara ini yang telah bergabung 323 hari yang lalu untuk menjadi konglomerat dengan perkhidmatan telekomunikasi dengan liputan dan kualiti talian yang terbaik.

Sewaktu acara tersebut, CEO CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi mengatakan bahawa penjenamaan baru CelcomDigi ini merupakan titik baru untuk syarikat ini maju bersama, dengan memperlihatkan sejumlah penawaran yang sudahpun hadir seperti CelcomDigi Fibre yang memperkenalkan perkhidmatan internet gentian optik di rumah dengan kelajuan sepantas 1Gbps dan juga CelcomDigi Business yang menawarkan sambungan internet sama untuk perniagaan kecil dan besar.

Malah, CelcomDigi juga telah menunjukkan bahawa penawaran rangkaian 5G mereka boleh dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat komersil dengan kerjasama bersama dengan DHL untuk mengautomasikan sebahagian proses gudang mereka di Shah Alam.

Dalam pada itu, kedua-dua syarikat ini juga telah memulakan proses untuk menggabungkan dan mengemaskini infrastruktur rangkaian digital mereka pada April 2023 dengan kelengkapan rangkaian 4G LTE dan 5G yang terbaru dan kalis masa-hadapan untuk memastikan mereka boleh menawarkan prestasi yang terbaik untuk para pelanggan mereka.

Komen