MP Segamat Ingin Bawa Usul Haramkan Tiktok Di Malaysia
Effi Saharudin
India telah menyekat TikTok beberapa tahun lalu atas sebab keselamatan pasca perbalahan dengan China. Amerika Syarikat, UK, New Zealand, Australia dan Perancis pula mengharamkan pemasangan TikTok pada peranti kerja penjawat awam atas sebab yang sama. Kelak mungkin Malaysia pula akan melakukan perkara yang sama.
Menurut laporan Malaysiakini, ahli parlimen Segamat R Yuneswaran bercadang membawakan usul ke Dewan Rakyat supaya TikTok diharamkan juga di Malaysia. Menurut beliau usul ini dibawa selepas mengambil kira isu keselamatan siber yang kini dikaitkan dengan aplikasi syarikat Bytedance yang berpangkalan di China. Beliau turut menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dapat melaksanakan sekatan penuh berfasa terhadap aplikasi penstriman video yang amat popular di Malaysia sekarang.

Sejak memulakan operasi di Malaysia timbul pelbagai isu berkaitan penyebaran maklumat kurang tepat di TikTok. Selepas beberapa pertemuan dilakukan, TikTok bersetuju untuk lebih proaktif dalam penyebaran video khususnya yang menyentuh isu 3R.
Dalam pertemuan dengan wakil TikTok pada 12 Oktober lalu, Fahmi Fadzil menteri KKD mengatakan TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka, dan perkara ini berlaku disebabkan ketiadaan wakil di Malaysia. Pada masa yang sama, TikTok turut memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan pihak kerajaan Malaysia.
TikTok sudah beberapa kali mengeluarkan kenyataan menafikan mereka melakukan intipan untuk kerajaan China tetapi usaha mengharamkan mereka kini sudah dimulakan pula di Malaysia.
[sumber] Malaysiakini [/sumber]