Honor secara rasminya berkongsi tarikh pelancaran rasmi untuk peranti baharu X9b di Malaysia. Ia dijadualkan berlangsung pada 1 November 2023, di samping turut boleh diakses secara dalam talian menerusi beberapa platform seperti Facebook dan YouTube rasmi.

Peranti ini merupakan kesinambungan untuk Honor X9a yang dipasarkan sebagai telefon dengan skrin tahan lasak. Untuk kali ini peranti ditambahbaik dengan paparan berteknologi Ultra-Bounce Anti-Drop serba baharu untuk meningkatkan lagi ketahanan. Ia dikatakan mempunyai tiga lapisan pelindungan yang bukan sahaja melindungi skrin semata, malahan juga pada bahagian bingkai dan komponen dalamannya.

Butiran lanjut mengenai perkakasan dalaman tidak didedahkan buat masa ini. Namun sekiranya peranti adalah variasi yang sama di Arab Saudi, maka cip Snapdragon 6 Gen 1 boleh digunakan sebagai tunjang utama. Untuk makluman juga sesi pratempah untuk peranti juga telah dibuka dengan hanya meletakkan deposit RM9, yang juga diberikan hadiah percuma bernilai hingga RM978.