Google Play Games Beta PC adalah aplikasi yang membenarkan pengguna bermain permainan mudah-alih Android terus melalui komputer Windows. Ia telah diperkenalkan di Malaysia bulan November 2022 lepas, sekaligus membolehkan pengguna memainkan pelbagai permainan Android yang disokong melalui penggunaan tetikus dan papan kekunci.

Terbaru, Google telah mengemaskini Google Play Games untuk PC, sekaligus menambah sokongan bermain dengan alat kawalan Xbox S, Xbox X, Xbox One, PS5 DualSense dan PS4 DualShock. Tetapi ia terhad kepada permainan terpilih sahaja seperti Asphalt 9: Legends dan BADLAND.
Selain itu, Play Games Beta untuk PC turut menyokong paparan resolusi sehingga 4K jika pengguna memiliki monitor dengan resolusi berkenaan. Ini secara tidak langsung memberikan visual dan grafik yang lebih baik dan dengan menekan kekunci Shift + Tab untuk memilih resolusi yang diingini.

Clash of Clans dan Clash Royale turut ditambah dalam pustaka Google Play Games untuk PC yang sudah pun mempunyai lebih 3000 judul untuk dimainkan pada komputer Windows. Akhir sekali, Google turut menambah bar carian pada bahagian “All Games” untuk memudahkan pengguna mencari permua kegemaran untuk dimainkan.