Carian
Microsoft Dijangka Menggantikan Butang “Start” Pada Windows Dengan Akses Ke Windows CoPilot
October 27, 2023 Fahim Zahar

Baru-baru ini, Windows 11 telah dikemaskini dengan ciri Windows CoPilot iaitu sistem AI generatif yang membolehkan pengguna berkomunikasi dan berbual seperti manusia dengan AI, serta menjana imej berdasarkan prom yang dimasukkan oleh pengguna. Windows CoPilot dikatakan akan menjadi pembantu maya baharu untuk pengguna Windows, termasuk suatu hari nanti boleh menguruskan fail dalam komputer.

Baru-baru ini, Satya Nadella selaku CEO Microsoft menyatakan yang peranti Windows akan datang bakal menyokong kedua-dua cip pemprosesan baharu, iaitu Qualcomm Snapdragon X Elite dan juga Intel Meteor Lake. Gabungan kedua-dua cip ini membolehkan Microsoft merealisasikan komputer AI generasi baharu.

Antara perkara yang Microsoft dijangka lakukan adalah menggantikan penggunaan butang Start dengan Windows CoPilot. Ia kelak membenarkan pengguna hanya perlu memberi arahan ringkas untuk melancarkan aplikasi, mengakses sesuatu dalam komputer, membantu pengguna mempelajari perkara baharu, menjawab soalan serta menjana sesuatu seperti dokumen, karya seni, mengakses tetapan Windows dan banyak lagi.

Buat masa ini, mereka sedar yang Windows CoPilot masih mempunyai fungsi yang terhad. Sistem kecerdasan buatan secara menyeluruh ini dijangka akan mula diintegrasikan pada Windows 12 yang mungkin tiba pada sekitar 2024 nanti.

Komen