Baru-baru ini, Anthropic telah memperkenalkan penawaran chatbot berasaskan kecerdasan buatan kepada pengguna Malaysia, dinamakan Claude AI. Daripada percubaan kami, ia masih pada peringkat awal dan masih tidak boleh melakukan sejumlah perkara besar seperti ChatGPT atau Google Bard buat masa ini. Namun, salah satu perkara menarik pada Claude AI adalah kebolehan meringkaskan dokumen PDF, surat dan sebagainya – salah satu kelebihan berbanding ChatGPT yang dibangunkan OpenAI.
Namun, masa depan untuk syarikat induknya kelihatan sangat menarik. Selepas Amazon menyatakan hasrat pelaburan, kini Google turut bersetuju untuk melabur sehingga $2 bilion pada Anthropic.
Untuk permulaan, Google akan melabur $500 juta, dan baki $1.5 bilion akan dilabur secara berperingkat.
Ini juga sekaligus mengukuhkan kedudukan lagi Google dalam arena kecerdasan buatan. Google sebelum ini antara yang terawal melakukan pelaburan tinggi dalam arena kecerdasan buatan dan mengambil-alih Deepmind. Google juga sedia mempunyai pegangan sebanyak 10% pada Anthropic melalui pelaburan awal pada syarikat berkenaan.