Tidak dinafikan bahawa perbincangan mengenai pecahan cip pemprosesan yang digunakan pada peranti mercu di bawah siri Galaxy S membawa kepada ketidakstabilan emosi pengguna. Bagaimanapun trend itu sekali lagi berlaku memandangkan Qualcomm mengesahkan bahawa sebahagian model Samsung Galaxy S24 kelak yang akan menggunakan cip pemprosesan Exynos.
Perkara ini dikongsi beberapa sumber yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Qualcomm Cristiano Amon menerusi persidangan persidangan laporan kewangan baru-baru ini. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara langsung, sebaliknya melalui perkongsian yang mana Qualcomm akan mempunyai bahagian majoriti cip yang digunakan. Ini berbeza dengan pengumuman tahun lalu di mana Amon mengatakan siri S23 kesemuanya menggunakan cip Qualcomm. Jelas bermakna ada bahagian minoritinya juga yang berpotensi boleh dikuasai oleh pemproses Exynos 2400 yang diumumkan sebelum ini.
Sekiranya ini benar berlaku bermakna Samsung akan kembali menggunakan strategi dua cip pada peranti mercu keluarannya. Pada masa sama masih belum dapat dipastikan juga bagaimana Samsung akan membahagikan ketersediaannya untuk setiap pasaran. Tetapi sekurang-kurangnya Galaxy S24 Ultra dipercayai menggunakan Snapdragon 8 Gen 3 for Galaxy untuk kesemua pasaran.