iMac 27″ dihentikan pengeluarannya pada tahun 2022 selari dengan pelan mereka untuk tidak lagi menawarkan Mac dengan cip Intel. Sejak itu hanya iMac dengan skrin 24″ sahaja ditawarkan termasuklah yang model baharu yang dilancarkan minggu lalu. Bagi mereka yang menantikan model 27″ untuk kembali anda akan berputih mata kerana Apple mengesahkan ia tidak akan ditawarkan dalam masa terdekat.
Menurut laporan The Verge, apabila dihubungi Apple berkata pada waktu ini hanya iMac 24″ sahaja akan ditawarkan. Bagi mereka yang inginkan Mac dengan skrin lebih besar mereka disarankan membeli Mac Pro, Mac Mini atau Mac Studio yang kemudiannya dipadankan pula dengan skrin besar seperti Mac Studio Display dengan skrin 27″ atau Pro Display XDR dengan skrin 32″.
Dengan jualan komputer peribadi yang menyusut pasca pandemik, mengurangkan penawaran model Mac mungkin dilihat sebagai langkah yang baik. Tetapi bagi mereka yang memang mencari iMac dengan skrin lebih besar, mereka perlu menunggu sama ada Apple akan berubah fikiran seperti kekunci Butterfly telah digantikan dan MacBook Pro kini kembali dengan lebih banyak port.