Tahukah anda antara sebab peranti Sony kurang menerima perhatian dan meraih populariti seperti jenama pesaing? Salah satu sebabnya adalah harga jualan yang sangat mahal dan sebab kedua pula adalah pengedaran kemas kini yang sangat perlahan dan kadangkala tidak konsisten.
Terbaru, Sony dilihat cuba melanggar tradisi dan mula mengedarkan kemas kini secara lebih awal. Peranti Xperia 1 V di sekitar Eropah dilaporkan telah mula menerima kemas kini Android 14. Xperia UI yang digunakan kekal dengan tema mirip Android stok serta beberapa ciri kustomasi seperti pengubahsuaian kunci skrin. Aplikasi Video Creator yang diperkenalkan pada Xperia 5 V turut dibawakan ke peranti ini.
Ini secara tidak langsung menjadikan Sony pengeluar ketiga menawarkan kemas kini stabil Android 14 kepada pengguna selepas Xiaomi kepada pengguna Xiaomi 12T Pro/13/13 Pro dan Samsung dengan One UI 6.0 kepada peranti terpilih.
Buat masa ini kemas kini ini diedarkan secara berperingkat dan tidak pasti bila ia akan tiba ke peranti Xperia 1 V di Malaysia. Sama-sama kita nantikan.