Rekaan kereta elektrik Xiaomi SU7 dan SU7 Max telah tertiris ke arena web selepas ia memasuki pangkalan data Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China sebelum boleh dijual. Kedua-dua kereta adalah dari jenis sedan empat pintu tetapi dengan dua prestasi berbeza.
Xiaomi SU7 ialah versi seberat 1980 kilogram dengan kelajuan maksimum 210 km/j manakala Xiaomi SU7 Max pula sebesar 2205 kilogram dengan kelajuan maksimum 265 km/j. Terdapat juga model Xiaomi SU7 Pro tetapi maklumat spesifikasi untuknya tidak pula disenaraikan. Jarak operasi dengan bateri pula disenaraikan sehingga 800 km dengan sekali caj.
Perbezaan lain antara SU7 dan SU7 Max juga terletak pada konfigurasi motor. SU7 dengan motor di belakang sahaja manakala SU7 Max dilengkapi motor di depan serta belakang. Sekilas pandang ia mirip dengan rekaan Porsche Taycan.
Kereta elektrik ini akan menggunakan sistem operasi HyperOS yang baharu sahaja diumumkan dengan ia turut digunakan pada telefon pintar, jam tangan, tablet, TV dan peranti internet benda Xiaomi. Dengan kereta sudah memasuki pangkalan data, pelancarannya di awal 2024 pastinya semakin hampir.