Saya peminat siri serta filem sains fiksyen. Dalam filem sains fiksyen di angkasa lepas saya suka melihat rekaan kapal angkasa yang digunakan kerana tanpa geseran udara ia boleh menggunakan pelbagai rekaan tanpa perlu memikirkan konsep aerodinamik.
Antara kapal angkasa kegemaran saya ialah USCSS Nostromo daripada filem Alien yang kelihatan aneh. Di Arab Saudi, menara Epicon akan dibina dengan ia mempunyai rekaan yang hampir sama dengan Nostromo.
Epicon ialah menara komersial yang bakal menempatkan hotel, pusat membeli belah dan tempat kediaman. Ia sebenarnya mengambil inspirasi daripada fatamorgana yang dilihat di padang pasir. Dari jauh Epicon akan kelihatan seperti fatamorgana yang sedang terapung tetapi ia bukan sebuah ilusi.
Terdapat dua menara dalam projek Epicon satu setinggi 225 m dan satu lagi setinggi 275 m. Epicon masih di peringat perancangan pada waktu ini. Apabila siap kelak ia menjadi sebuah lagi penempatan serta kawasan pelancongan mewah di bawah projek NEOM yang akan turut menempatkan The Line – bangunan terpanjang dunia dan menara Projek Trojena seakan kristal di kawasan bersalji.