Carian
realme GT3 240W Melepasi SIRIM, Bakal Tiba Tidak Lama Lagi?
November 17, 2023 Fahim Zahar

realme GT3 adalah peranti mercu mampu milik realme yang dilancarkan semasa acara MWC Barcelona 2023. Peranti ini hadir dengan sokongan pengecasan pantas 240W yang boleh mengecas peranti dari 0% ke 100% dalam masa kurang 10 minit. Selepas 9 bulan menantikan peranti ini, nampaknya realme Malaysia akhirnya akan melancarkannya untuk pasaran tempatan kerana peranti ini telah tersenarai di laman SIRIM.

Peranti ini menggunakan skrin 6.74-inci OLED beresolusi 1.5K yang menyokong kadar segar semula 144Hz, boleh memaparkan kandungan HDR10+ dan kecerahan mencapai 1400nits. Ia dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 dan bukannya 8 Gen 3 yang lebih baharu. Untuk memori ia mencapai sehingga 16GB RAM LPDDR5X dan boleh dikembangkan dengan memori maya 12GB RAM serta storan dalaman sehingga 1TB UFS 3.1.

Antara ciri menarik pada peranti ini adalah ia mempunyai sistem lampu LED di belakang yang digelar Pulse Interface Design. Lampu ini mempunyai 25 warna berbeza untuk mod permua GT Mode atau notifikasi. Konfigurasi kamera pula menggabungkan sensor 50MP IMX890 + 8MP sudut ultra-lebar + 2MP mikroskop dan kamera swafoto 16MP. Untuk memastikan peranti ini sentiasa sejuk sistem kebuk wasap Steel Vapor Cooling System Max 2.0 digunakan.

Bateri sebesar 4600mAh digunakan dan perisian pula adalah realme UI 4.0 yang masih berasaskan Android 13. realme UI baharu ini menyertakan ciri kawalan bateri untuk memastikan bateri sentiasa sihat dengan menyokong sehingga 1600 kitaran pengecasan.

Semasa dilancarkan di Barcelona, harga GT3 bermula dari $649 iaitu sekitar RM2912 dengan pilihan warna Booster Black dan Pulse White. Sama-sama kita nantikan pelancaran di Malaysia nanti dan harganya. Disebabkan usia peranti ini telah 9 bulan, harapnya harga pasaran tempatan nanti adalah sekitar RM2000 sahaja.

Komen