Kemelut yang berlaku di OpenAI hujung minggu lalu masih belum berakhir dengan dua pengasasnya Sam Altman dan Greg Brockman disahkan telah menyertai Microsoft serta akan mengetuai bahagian baharu pembangunan kecerdasan buatan (AI). Pagi ini muncul laporan lebih 700 daripada 770 kakitangan OpenAI menandatangani surat akan meletak jawatan sekiranya lembaga pengarah ditukar kesemuanya.
Mereka juga ingin Altman dan Brockman kembali semula kepada syarikat. Antara yang menandatangani surat ini ialah ketua penyelidik OpenAI Ilya Sutskever yang merupakan antara penyebab Altman dipecat pada hujung minggu lalu. Altman akan memegang jawatan CEO di Microsoft dan berkata terdapat tempat untuk bekas kakitangan OpenAI untuk bertugas di bawah beliau.
Lembaga pengarah OpenAI semalam enggan meletakkan jawatan dan sebaliknya melantik Emmet Shear sebagai CEO sementara. Microsoft berkata mereka kekal komited menyokong OpenAI walaupun memulakan bahagian AI baharu diketuai Altman dan Brockmen yang bakal bersaing secara terus. Situasi di OpenAI masih belum selesai dengan timbul laporan mengatakan masih terdapat ruang untuk Altman dan Brockman kembali untuk menyelamatkan syarikat daripada lumpuh kerana kehilangan lebih 91% kakitangan sedia ada.