Cari @ Amanz

Microsoft sedia mengintegrasikan ciri AI generatif pada produk-produk digital mereka seperti menggunakan model GPT oleh OpenAI pada perisian Office 365, menawarkan CoPilot pada Windows 11 dan Windows 10 atau juga ciri penjanaan imej Bing Image Creator yang menggunakan AI DALL-E 3.

Terbaru, aplikasi Microsoft Paint telah dikemaskini dengan ciri AI generatif Cocreator ang menggunakan teknologi DALL-E 3. Butang ini akan berada di sebelah tab “Warna” dan apabila ditekan akan ada ruang untuk mengisi prom serta memilih gaya imej yang ingin dijana seperti Lakaran Dakwat, Seni Piksel, Lukisan Minyak dan banyak lagi.

Selepas menaip prom dan memilih gaya, pengguna boleh terus menekan butang “cipta” dan tiga varian akan diberikan. Setiap pengguna diberikan sebanyak 50 kredit dengan setiap satu penjanaan menggunakan 1 kredit. Microsoft tidak mendedahkan lagi bagaimana untuk menerima kredit tambahan buat masa ini.

Ciri ini dalam percubaan berjalan dengan sangat lancar, berjaya menjana imej dengan pantas dan turut menyokong prom Bahasa Melayu. Kekurangan pada pendapat saya adalah ia tidak dapat menjana berdasarkan imej yang saya lakar kerana harus menggunakan prom seperti pada Bing Image Creator, DALL-E atau Midjourney. Ciri Cocreator pada Microsoft Paint buat masa ini terhad kepada pengguna di Amerika Syarikat, Arab, Perancis, UK, Australia, Kanada, Itali dan Jerman.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd