Cari @ Amanz

Dunia sains melompat setapak lagi hari ini dengan pengumuman Google DeepMind bahawa kecerdasan buatan (AI) Graph Networks for Materials Exploration (GNoME) telah berjaya menemukan 2.2 juta struktur kristal baharu. Yang menjadikan penemuan ini luar biasa dari sudut sains ia bersamaan dengan eksperimentasi mencari struktur kristal secara manual selama 800 tahun.

Daripada 2.2 juta struktur kristal yang ditemukan, sekitar 380,000 adalah stabil dan boleh digunakan. Menurut DeepMind 736 struktur yang diramalkan oleh GNoME telahpun dihasilkan di dunia sebenar oleh pelbagai makmal yang terlibat dalam projek ini. Dalam sekelip mata jumlah struktur kristal yang stabil yang diketahui oleh sains meningkat ke 421,000 dengan bantuan GNoME.

Mengapa struktur kristal penting untuk kemajuan manusia mungkin soalan di kepala anda sekarang. Susunan kristal baharu membolehkan kemajuan pada rekaan cip pemproses, semikonduktor, superkonduktor, superkomputer dan bateri yang diperlukan dalam masa terdekat.

Antara yang ditemukan ialah 52,000 sebatian berlapis yang mempunyai persamaan dengan grafena yang mungkin berpotensi menjadi bahan superkonduktor. Sebanyak 528 sebatian lagi mempunyai potensi menjadi pengalir ion litium yang membuka pintu kepada penghasilan bateri lebih baik untuk kenderaan elektrik.

GNomE bukan kejayaan pertama DeepMind dalam membantu kajian sains manusia. Tahun lalu DeepMind AlphaFord meramalkan lebih 200 juta struktur protein dapat memajukan lagi pemahaman biologi serta membantu menyelesaikan isu sumber makanan dan penyakit-penyakit yang masih belum boleh dirawat. Tidak dilupakan tahun ini pula DeepMind GraphCast AI mampu melakukan ramalan cuaca yang tepat sehingga tujuh hari dan mentafsir teks purba yang tidak lengkap.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd