Beeper adalah perkhidmatan pemesejan semua dalam satu yang dibangunkan oleh pengasas jam Pebble. Mereka kini menggelarkan diri sebagai Beeper Cloud yang turut terkenal menawarkan perkhidmatan iMessage pada Android. Beeper adalah antara yang telah saya gunakan sejak lebih setahun dan terbaru mereka melancarkan Beeper Mini.

Apa yang menarik dengan Beeper Mini adalah ia membawakan sokongan iMessage pada peranti Android tanpa memerlukan penggunaan akaun Apple ID. Hanya daftar akaun baharu atau log masuk dengan akaun Google. Setiap pengguna akan menerima langganan tujuh hari percuma.
Dalam cubaan saya, apa yang Beeper Mini katakan disokong ialah pemesejan Android ke iPhone tanpa “buih hijau”, sembang secara berkumpulan, perkongsian gambar dan video beresolusi tinggi, menyunting mesej atau nyah-hantar mesej, tanda mesej dibaca, status menaip, reaksi emoji, bebenang mesej dibalas, mesej suara, pelekat dan perkongsian GIF semuanya boleh digunakan tanpa isu.

Beeper Mini secara asasnya mengubah nombor telefon dalam peranti Android menjadi nombor biru. Menurut Beeper mereka menggunakan API yang menghubungkan terus isyarat pemesejan dari Beeper Mini ke pelayan Apple untuk peranti Apple mengesan mesej Android sebagai iMessage tanpa akaun Apple ID. Setiap mesej turut disulitkan, menjamin sekuriti dan privasi pengguna sekain turut tidak menggunakan pelayan peranti Mac seperti Sunbird dan Nothing Chats.
Di Malaysia, Beeper Mini ditawarkan pada harga RM9.99 sebulan selepas tujuh hari akses percuma diberikan. Agak menarik kerana ini adalah antara tawaran terbaik, paling murah untuk iMessage pada Android.