Cari @ Amanz

Hari ini ada kami laporkan ura-ura NVIDIA akan membuka pusat data AI di Johor. Sebentar tadi NVIDIA telah mengesahkan mereka melakukan kerja sama dengan YTL Power International Berhad untuk membina pusat data AI yang akan beroperasi menjelang pertengahan 2024. Ini akan menjadi salah satu langkah menjadikan Malaysia hab AI di Asia Tenggara. NVIDIA telah melakukan pelaburan bernilai RM20 bilion bagi membina pusat data AI ini.

Pusat data AI ini akan dilengkapi cip NVIDIA H100 yang menggerakkan pusat data AI paling
maju masa kini, dan menggunakan perisian NVIDIA AI Enterprise untuk memperkemas penghasilan AI.

Lokasi yang dipilih pula ialah YTL Green Data Center Park yang terletak di Kulai, Johor dengan ia mempunyai stesen jana kuasa solar 500MW yang menawarkan sumber kuasa yang lestari.

CEO NVIDIA, Jensen Huang ada menyatakan yang Malaysia mempunyai “syarikat hebat” yang boleh menjadi rakan perniagaan yang baik untuk membina infrastruktur pusat pangkalan data. Pada Mac lalu, Yes 5G (anak syarikat YTL) menawarkan akses kepada perkhidmatan gaming awanan GeForce Now kepada pelanggan mereka. Bukan itu sahaja, di Malaysia pembangunan AI turut dilihat semakin diambil serius dengan fakulti khas akan dibangunkan di UTM.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd