Cari @ Amanz

Piawaian peranti internet benda Matter 1.2 diumumkan pada Oktober lalu. Menerusinya perkakasan rumah seperti robot vakum, peti sejuk, pendingin hawa, dan mesin basuh akan menyokong piawaian yang digunakan hampir kesemua pengeluar. Di acara pelancaran produk terkini Haier yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini, Penolong Pengarah Pemasaran Syarikat di Malaysia Julian Thean mengatakan sokongan Matter 1.2 akan diberikan di Malaysia dalam masa terdekat.

Menjawab persoalan Amanz, Thean berkata pada waktu ini beberapa produk Haier sudahpun menyokong ekosistem internet benda HaiSmart mereka. Antara yang menyokongnya HaiSmart ialah TV pintar, pendingin hawa, peti sejuk dan hud dapur pintar. Sokongan ekosistem pintar yang lebih baik menerusi HaiSmart mula diperkenalkan tahun ini dengan ia akan dikembangkan lagi ke beberapa produk lain mereka di masa akan datang.

Haier adalah antara pengeluar kelengkapan dapur dan perkakasan rumah yang terawal menyokong piawaian Matter 1.2. Piawaian Matter telah diumumkan tahun lalu dengan sokongan daripada Amazon, Apple, Google, Huawei, IKEA, Oppo, Signify dan SmartThings.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd