Cari @ Amanz

Midjourney ialah antara kecerdasan buatan (AI) generatif yang menjana imej paling popular pada waktu ini. Kemampuannya menjana imej yang realistik menyebabkan pembangun menghadkan penggunaan secara berbayar sahaja bagi mengelakkan kekeliruan. Ia juga lebih sukar digunakan kerana diakses menerusi Discord sahaja.

Midjourney versi web kini sedang menjalankan ujian di peringkat Alpha. Pengguna yang telah menjana lebih 10,000 imej boleh mengakses versi web secara terus sejak dua minggu lalu. Pada versi web menjana imej adalah lebih mirip seperti pada DALL.E dan Bing Image Creator kerana hanya prom perlu dimasukkan tanpa arahan yang kompleks.

Terdapat tetapan untuk saiz imej, nisbah skrin, kekuatan gaya yang ingin digunakan serta banyak lagi yang selama ini perlu dimasukkan ke dalam prom yang panjang. Versi web cuba memudahkan proses janaan imej untuk pengguna.

Aplikasi telefon pintar untuk Android dan iOS juga kini sedang dibangunkan dengan ia boleh menerima arahan suara seperti aplikasi ChatGPT. Midjourney versi web serta aplikasi telefon pintar dijangka akan dilancarkan untuk semua pada tahun 2024.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd