Beberapa bulan lalu kami laporkan Sir Jony Ive dan Sam Altman sedang bekerjasama menghasilkan perkakasan kecerdasan buatan (AI) dengan bantuan Masayoshi Son. Minggu ini Tang Tan yang merupakan mantan ketua rekaan di Apple menyertai firma LoveFrom milik Ive.
Kepakaran Ive dan Tan dalam menghasilkan pelbagai produk ikonik di Apple akan digunakan pula untuk menghasilkan peranti AI pertama yang menggunakan perisian OpenAI. Apakah peranti ini masih lagi misteri tetapi mungkin seperti Humane AI Pin yang dilancarkan bulan lalu.
Perkakasan dengan AI tersedia akan menjadi trend hangat 2024. Kita sudah dapat melihat ia dilakukan oleh Google selepas Gemini Nano diberikan kepada Pixel 8 Pro. Semua pengeluar peranti utama mempunyai perancangan yang sama cuma implementasinya sahaja masih menjadi tanda tanya.