Semalam Xiaomi telah mengacah kereta elektrik pertama mereka iaitu SU7 yang dikatakan mempunyai pengalaman pemanduan seakan sebuah Porsche Taycan Turbo. Hari ini Xiaomi SU7 telah dilancarkan secara rasmi sebagai kenderaan elektrik (EV) pertama mereka.

SU7 adalah sebuah sedan dalam kelas-C yang menggunakan rekaan kereta mewah. Misalnya lampu dengan sistem Matrix ADB serta lampu LED dinamik dengan rekaan futuristik. Di ruang kokpit terdapat skrin 16.1-inci untuk kawalan kereta, dua skrin di belakang untuk penumpang, dan cermin hadapan dengan sistem HUD. Kerusi pula menggunakan bahan kulit nappa dan stereng pula diperbuat daripada gentian karbon.

“Otak” kereta ini menggunakan dua NVIDIA Drive Orin dengan kuasa 508 TOPS, dipadankan dengan pelbagai sensor, kamera, LiDAR, serta sistem perisian yang dibangunkan Xiaomi. Xiaomi SU7 boleh memecut ke 100 km/j dalam masa 2.87 saat dengan kelajuan maksima mencapai 265 km/j. Motor elektrik Xiaomi Super Motor V6 boleh mencapai 673 kuasa kuda dan tork 838Nm. Sistem brek pula adalah jenis 4-piston Brembo dengan teknologi Bosch.


Kuasa bateri pula adalah 800v yang boleh dipandu sehingga 800km CLTS. Xiaomi SU7 turut menawarkan tiga pilihan motor iaitu Super Motor V6 299 PS, 200kW, 400Nm, 400v), Super Motor V6s (374 PS, 275kW, 500Nm, 800v) dan Super Motor V8 yang mencapai 27,2000 rpm serta 425kW. Sistem bateri yang digunakan turut dilengkapi pelapik penyejuk bagi memastikan bateri tidak memanas ketika pengecasan serta selamat untuk pemanduan jangka masa panjang.

Kereta ini turut merupakan kereta swapandu dengan sistem Xiaomi Pilot yang menggunakan algoritma serta kecerdasan buatan tersendiri. Pilot kereta ini dikatakan boleh memandu dengan sendiri seperti memecut, memintas kereta lain dengan selamat, mengelak halangan dan banyak lagi. Terdapat juga mod khas untuk pemanduan dalam bandar yang boleh berhenti sendiri mengikut lampu trafik, memandu perlahan bagi memberi ruang pejalan kaki, memberi isyarat sendiri ketika membelok atau juga memandu secara berkhemah ketika trafik sesak.
Akhir sekali adalah Xiaomi Smart Cockpit yang menggunakan HyperOS. Sistem operasi kendiri ini boleh melakukan multi-tugasan, kustomasi, skrin hidup apabila mengesan kehadiran pemandu. Xiaomi Smart Cockpit ini turut menyokong sambungan telefon pintar untuk ekosistem mesra pengguna.

Ketika artikel ini ditulis, Xiaomi masih tidak berkongsi sebarang harga jualan lagi cuma ditawarkan dalam dua model iaiatu SU7 dan SU7 Max. Berdasarkan spesifikasi yang dikongsi, SU7 dilihat seakan pencabar Tesla Model X.