Carian
Ulasan Charby Orbit Wireless Charger 2 – Pengecas Nirwayar Dwi-Magnet Yang Cool
March 13, 2024 Fahim Zahar

Charby sehingga hari ini masih serius dalam menawarkan aksesori MagSafe yang universal. Betul teknologi Qi2 sudah menjadi piawaian pengecasan nirwayar magnetik. Tetapi usaha jenama tempatan dari bekas pelajar UTM ini bermula sejak dua tahun lepas lagi. Pada tahun 2022, mereka telah hadir dengan pelbagai aksesori magnetik untuk telefon yang sangat mesra pengguna. Terbaru, ORBIT Wireless Charger 2 dilancarkan iaitu pengecas nirwayar dwi-magnet.


SPESIFIKASI DAN REKAAN

Bahan BinaanAluminium, Kulit Vegan,
Magnet N52 Neodymium
SambunganKabel USB-C terbina 1m
PiawaianQi
JenisPengecas Nirwayar Magnetik
Kuasa Pengecasan15W (iPhone, MagSafe)
15W (Android)
PerantiSemua yang menyokong Qi
HargaBermula RM69.90

Jika anda lihat jadual di atas, spesifikasi pengecas nirwayar ini adalah biasa sahaja. Keunikannya terletak pada 16 magnet neodymium yang disambungkan secara rapat tanpa celah. Charby Orbit Wireless Charger 2 turut menggunakan rekaan dwi-magnet di depan dan di belakang agar ia boleh dilekatkan pada mana-mana permukaan besi tanpa sebarang aksesori tambahan.

Pengecas ini juga direka dengan kerangka 0.26-inci lebih besar untuk menjadi 8% lebih sejuk berbanding pengecas generasi pertama mereka. Charby turut mendakwa yang dalam ujian makmal, Orbit Wireless Charger 2 ini mempunyai kadar pengecasan 24% lebih pantas berbanding pengecas MagSafe rasmi Apple.

PENGALAMAN PENGGUNAAN

Cara saya menggunakan mana-mana pad pengecas nirwayar adalah sama sahaja. Jika ia bulat dan leper saya akan terus letak di atas meja jika di dalam pejabat. Tetapi untuk Charby Orbit Wireless Charger 2 buat pertama kali saya menggunakan pad pengecas ini di dalam kereta.

Di dalam kereta, saya menggunakan Orbit Infinity sebagai pemegang peranti yang menggunakan magnet sama dengan Apple MagSafe. Pad pengecas ini direka dengan dwi-magnet di depan dan belakang. Di belakang dengan permukaan aluminium adalah untuk dilekatkan pada Orbit Infinity dan permukaan hadapan dengan kulit vegan adalah untuk MagSafe.

Magnet yang digunakan adalah sangat kuat, di dalam kereta apabila saya dengan sengaja melanggar bonggol dan lubang peranti tidak terjatuh dan masih kekal melekat. Peranti menjadi sedikit suam kerana pengecasan 15W mengambil masa lebih lama untuk dicas sehingga penuh tetapi tiada masalah serius pada peranti.

Walaupun Orbit Wireless Charger 2 ini menyokong MagSafe, ia tidak menyokong MFi secara rasmi. Jika anda tertanya “Eh, kalau takde MFi macam mana boleh ada animasi MagSafe?”, jawapannya adalah sebab Charby menggunakan produk OEM yang telah menerima MFi. Mereka hanya melakukan perubahan kecil untuk mempunyai identiti tersendiri.

KESIMPULAN

Selepas berbulan menggunakan pengecas nirwayar ini, Charby Orbit Wireless Charger 2 telah menjadi aksesori kegemaran saya. Lebih-lebih lagi untuk pengguna ekosistem Charby yang sedia menggunakan jenama ini sejak dua tahun lepas. Ia ringkas, nampak premium dengan kemasan kulit dan mudah digunakan.

iPhone 13 Pro dan iPhone 14 yang saya gunakan bersama pengecas ini tiada masalah dicas secara nirwayar dengan kadar yang cukup pantas. Satu keluhan saya adalah, kabel terbina seharusnya lebih tahan lasak – mungkin jenis bersulam. Harga jualannya juga tidak begitu mahal dan ia berada di dalam kategori mampu milik.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Mampu mengecas peranti pada kadar 15W seperti dijanjikan.
  • Binaan ringkas yang elegan dan premium.
  • Mudah digunakan.
  • Tiada masalah pemanasan.
  • Menyokong MagSafe pada iPhone.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Kabel terbina tidak tahan lasak.
  • Peranti Android wajib ada gegelung besi untuk sokongan lebih baik.
  • Jenama Charby tiada MFi, tetapi perkakasan OEM yang digunakan ada.
Komen