Tahun 2024 baru sahaja menjengah hari ketiga dan tahun ini menampakkan pelbagai jenama sangat agresif bagi mengetengahkan teknologi mereka. Dalam hal ini Samsung juga sudah memulakan persiapan mereka untuk tahun 2024 yang akan menjadi tahun Peranti AI pertama dilancarkan kepada umum.
Setakat ini kita sekadar diberikan beberapa cebisan roti tentang apa yang akan dilakukan Samsung dengan teknologi kecerdasan buatan (AI). Model AI Samsung Gauss diumumkan November lalu dengan kemampuan multi modal diikuti pula oleh AI Live Translate Call yang kelak dapat melakukan proses alih bahasa masa nyata ketika melakukan panggilan telefon. Ciri ini dijangka akan mula disokong pada siri Galaxy S24 apabila ia dilancarkan beberapa minggu sahaja lagi.
Kami telah menghadiri sesi bersama wakil Samsung di Malaysia dan beberapa perkongsian menarik mengenai penggunaan AI pada peranti Galaxy membuatkan kini kami teruja untuk melipat apakah yang bakal dilakukan mereka kelak.
AI Pada Fotografi
AI pada fotografi kini bukan lagi taboo. Lima tahun yang lalu penggunaan algoritma pada gambar dicemuh sebagai tidak “asli”, tidak “seni” dan ada juga yang mengatakan melanggar “roh fotografi sebenar” sebenar. Tetapi pendapat ini sudah berubah 180 darjah sekarang kerana orang ramai menyedari mereka mahukan setiap momen yang ingin diabadikan ditangkap dengan sempurna menggunakan kamera di tangan.
Anak mengambil langkah pertama hanya berlaku sekali begitu juga hari perkahwinan (secara idealnya) juga sekali sahaja dalam hidup. Memastikan setiap gambar dan video diambil sempurna untuk tontonan semula adalah mandatori. Kami yakin 90% pengguna tidak peduli jika gambar diambil menjalani beberapa langkah pasca-proses bagi menghasilkan imej sempurna kerana tidak perlu disunting selama 10 minit sebelum boleh dikongsi ke media sosial.
AI kelak akan mempertingkatkan lagi kemampuan fotografi pada telefon mudah alih. Di atas kami katakan gambar perlu disunting sehingga 10 minit. Jangan terkejut jika tahun depan telefon pintar boleh melakukan suntingan automatik pada gambar yang disimpan di dalam Gallery atau Google Photos.
Ia boleh memahami apabila mengambil gambar bangunan, anda mahukan ia nampak lebih sinematik. Gambar bersama keluarga pula perlu diterangkan dengan tema warna lebih ceria. AI dilatih menggunakan data peribadi ribuan (mungkin ratusan ribu gambar) yang telah anda ambil. Maka setiap gambar yang diproses oleh AI akan menepati estetik peribadi tanpa perlu disuruh.
Apa yang ditulis di atas sebenarnya bukan “jika akan wujud” tetapi “bila akan wujud” kerana kami telah melihatkan sendiri ketika pelancaran cip Qualcomm pada Oktober. Tersalah menggunakan lensa pada gambar? AI boleh menggabungkan dua gambar satu dengan sudut lebar dan satu lagi ultra sudut lebar menjadi satu tanpa dapat dikesan mata kasar. Terdapat gambar mantan kekasih yang ingin dipadam daripada memori? Insan-insan ini boleh dipadam sekelip mata oleh AI dan anda tidak perlu melihat wajah mereka lagi!
AI Pada Gaming
Menurut data IDC, gaming pada telefon pintar akan memegang 56% pasaran pada tahun 2023. Lebih besar berbanding gabungan gaming pada konsol (22%) dan PC (21%). Trend jangkaan tahun 2024 ialah menawarkan grafik tahap konsol pada telefon mudah alih. Isu selama ini ialah kekangan penggunaan bateri dan kuasa cip yang masih belum setanding dua pesaingnya.
Menerusi AI teknologi seakan DLSS boleh ditawarkan pada telefon mudah alih. AI akan digunakan untuk meningkatkan kualiti grafik, kadar bingkai (FPS) dan resolusi. 4K 60FPS pernah dianggap sebagai Taming Sari yang tidak akan mampu dicapai tetapi kini suatu kebiasaan dengan bantuan AI. Imej antara bingkai dijana AI bagi memberikan ilusi permainan berjalan pada kadar bingkai lebih tinggi tanpa isu tersekat-sekat.
Tidak terhad di situ AI boleh digunakan untuk mengawal penggunaan kuasa ketika gaming dengan menidurkan sistem-sistem dan aplikasi yang tidak diperlukan. Antara penggunaan AI generatif yang menarik dalam gaming yang pernah dilaporkan di Amanz ialah kemampuan menjana dialog, audio dialog dan pilihan dalam permainan ketika berinteraksi dengan NPC secara masa nyata. Ratusan ribu dialog yang dahulunya perlu direkod boleh dijana secara automatik mengurangkan saiz pemasangan permua pada peranti.
AI turut akan digunakan untuk menghasilkan kandungan yang tiada penghujungya. Peta boleh dijana secara prosedural menggunakan AI. Setiap misi adalah unik kerana dijana secara rawak oleh dengan tahap kesukaran pula boleh berubah mengikut situasi. Potensi AI untuk mengubah dunia permainan video adalah tinggi. Sebagai seorang gamer kami sangat teruja menanti bagaimana ia bakal mengubah landskap permainan video dalam masa terdekat.
AI Dan Pembantu Maya Generasi Seterusnya
Era pembantu maya bermula pada tahun 2011 dengan pelancaran Siri. Walaupun artikel ini mengenai Samsung kita tidak boleh menafikan impak pengenalan Siri pada telefon pintar. Dalam masa dua tahun sahaja pembantu pada Android berjaya memintas kemampuan Siri yang waktu ini masih gagal mengejar dari belakang.
Sungguhpun begitu izinkan kami bertanya soalan ikhlas. Berapa kerap anda gunakan Google Assistant, Siri, Bixby, Alexa dan bermacam-macam lagi pembantu maya pada telefon pintar? Menurut satu maklum balas yang dilakukan di Amerika Syarikat, hanya 48% menggunakan pembantu maya setiap hari. Selepas 12 tahun wujud, visi asal pembantu maya yang benar-benar membantu sepanjang masa tidak direalisasikan. Majoriti responden mengatakan pembantu maya sekadar digunakan untuk memasang loceng jam bangun pagi, melakukan pertukaran wang asing dan mendail nombor telefon.
Mengapa penggunaannya rendah dan sekadar tugasan yang remeh sahaja? Jawapannya ialah pembantu maya sedia ada masih belum cukup bijak. Di sini sentuhan AI akan mengubah segalanya.
AI tersedia pada peranti akan membolehkan pembantu maya digunakan tanpa sambungan internet. Tiada lagi jawapan “I am sorry I can’t do this right now” kerana internet terlalu perlahan. Pembantu maya moden dengan AI terbina pada peranti akan mengakses data dalam telefon anda. Ia boleh ditanya mengenai apakah agenda di waktu pagi, mencari fail tertentu yang dilampirkan dalam emel, mencari gambar anak pada hari lahir tiga tahun lalu dan berbicara dengan anda seperti seorang pembantu peribadi manusia.
Semua ini dilakukan tanpa sambungan internet yang bermakna data peribadi anda sentiasa selamat dan paling penting beroperasi lebih pantas kerana diproses pada peranti tanpa perlu dihantar ke awanan terlebih dahulu. Pantas tetapi selamat!
Peranti sedia ada sudahpun tahu bila anda tidur, bila anda bangun, dimana anda kerja, pukul berapa anda makan dan apakah tabiat harian. Data-data peribadi ini akan melatih sebuah AI untuk anda sahaja, menggunakan data anda sahaja, dan hanya boleh diakses oleh anda sahaja. Anjakan paradigma dalam arena pembantu maya dibantu dengan AI akan berlaku dalam masa beberapa tahun sahaja lagi.
Kesemua yang ditulis di atas adalah berdasarkan demo yang telah diperlihatkan, yang telah kamu cuba sendiri dan berdasarkan tekaan berasaskan apa yang telah dilaporkan di Amanz dalam arena kecerdasan buatan. Jawapan kepada hala tuju dan perancangan masa depan Samsung menggunakan AI akan diumumkan di acara AI for All di CES pada 8 Januari depan. Berapa banyak agaknya ramalan dalam artikel ini akan menjadi kenyataan sebelum digunakan pada produk sebenar? Jawapannya tidak lama sahaja lagi.