Di Malaysia akan ada dua RedMagic 9 Pro ditawarkan. Satu melalui Shopee Mall rasmi untuk set global tanpa jaminan rasmi dan di kedai fizikal set Malaysia dengan jaminan oleh ZTE Malaysia. Dalam ulasan ini, saya menggunakan unit rasmi. Telefon ini adalah antara yang terbaik pernah ZTE hasilkan, tetapi adakah ia berbaloi untuk dimiliki atau tunggu sahaja ASUS ROG Phone 8 yang baru sahaja dilancarkan CES awal pagi tadi.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
RedMagic 9 Pro | |
---|---|
Skrin | 6.8-inci OLED BOE Q9+, 2480 x 1116, 120Hz, 1600 nits, Netflix SD |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) Red Core 2 Pro |
Cip | 1x 3.3 GHz Cortex-X4 5x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 2.3 GHz Cortex-A520 |
Cip Grafik | Adreno 750 |
RAM | 12/16 GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50 MP, OIS (Sudut Lebar) 50 MP, (Ultra Sudut lebar) 2 MP, (Makro) |
Kamera Depan | 16 Megapixel, UDC 2.0 |
Bateri | 6500 mAh Pengecasan berwayar 80W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin |
Harga Jualan | RM3699 12/256 GB RM4499 16/512 GB (Set global, bukan rasmi) |
Selain Nothing, saya amat menggemari rekaan RedMagic sejak 7S Pro, 8 Pro dan terbaru 9 Pro. Mereka menggunakan rekaan rata sepenuhnya daripada skrin hadapan, sisi dan sehinggalah di belakang bonggol kamera pun tiada. Elemen lutsinar masih dikekalkan pada kipas dan RGB juga masih ada tetapi seperti 8 Pro yang terhad kepada kipas, logo dan butang bahu.
RedMagic 9 Pro turut tidak kelihatan sebagai sebuah telefon gaming kerana tidak lagi nampak ranggi, sebaliknya semakin ringkas dan sangat minimal. Semua butang di sebelah kiri sahaja, di atas masih ada port bicu audio 3.5mm, masih ada sensor pemancar infra merah dan paling tidak boleh dilupakan adalah rekaan skrin yang paling cantik di pasaran sekarang.
SKRIN
TIADA, ya tiada telefon pintar lain berani menawarkan skrin seperti RedMagic 9 Pro. Ia boleh dikatakan nirbingkai penuh, tiada takuk, tiada dahi/dagu dan tiada lubang kamera. Skrin juga cantik dan cukup terang untuk untuk penggunaan di bawah cahaya matahari terik cuma ia tidak terang seperti vivo X100 Pro. Kadar segar semula pula aneh kerana hanya 120Hz dan tidak seperti iQOO 12 atau pesaing yang mencapai 144Hz atau 165Hz.
Ia juga bukan dari jenis LTPO dengan penukaran antara terhad antara 60Hz, 90Hz dan 120Hz sahaja. Perkara yang saya tidak boleh maafkan adalah kebanyakan aplikasi penstriman video tidak menyokong paparan HDR. Netflix terhad pada SD, Prime Video hanya HD atau FHD dan ciri Enhanced Display Mode tidak sehebat penawaran Oppo, OnePlus atau Xiaomi.
SISTEM BIOMETRI
Pengimbas cap jari yang digunakan adalah jenis optikal. Lokasi juga strategik untuk tangan saya yang besar kerana berada di atas sedikit berbanding pesaing yang terlampau ke bawah sehingga jari boleh sakit. Ia juga mampu mengimbas dengan pantas cuma kadangkala di dalam gelap ia sukar untuk mengesan jari saya.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN – REDMAGIC OS 9
Selepas berkali-kali saya merungut Redmagic OS tidak bagus kerana penggunaan bahasa Inggeris yang seakan diterjemahkan menggunakan Google Translate dan tiada jaminan kemas kini jangka panjang. Kali ini ZTE dan Nubia mengubah perisian mereka membawakan iterasi yang terbaik pernah saya gunakan. Walaupun masih tidak sempurna tetapi berbanding generasi lepas inilah telefon RedMagic yang paling memuaskan
RedMagic juga memberikan pengalaman penggunaan telefon yang bebas iklan serta aplikasi gendut. Malah banyak elemen Android stok dimasukkan sehingga saya mudah menerokai semua ciri dan fungsi telefon. Sokongan widget juga kemas, pelancar mesra pengguna dan paling penting ada ciri Z-SmartCast yang boleh mengubah telefon menjadi alat kawalan sambil kandungan dipaparkan ke monitor, televisyen atau komputer.
Untuk perisian masalah besar saya hanyalah pada pengurusan memori. Telefon ini menggunakan RAM fizikal 16GB dan 12GB RAM secara maya tetapi banyak aplikasi disegarkan semula selepas tidak dibuka untuk seketika. Mesej WhatsApp turut lambat masuk walaupun sentiasa berhubung ke Internet dan aplikasi telah dikunci di latar. Saya harap RedMagic ambil serius akan hal ini dan membaikinya dalam kemas kini akan datang.
Antara yang menarik adalah;
- RAM capacity
- Memori maya yang menambah sehingga 12GB di atas 16GB yang sedia digunakan.
- Turbo charge dan Charge seperation
- Sistem pengecasan pantas yang mengikut keadaan telefon dan ciri mengecas sambil bermain permua yang tidak menjejaskan kesihatan bateri.
- Cooling fan
- Kipas penyejuk fizikal dengan 59-bilah yang berpusing pada kadar 22,000 RPM.
- SyncMind
- Ciri 5G pinntar, Z-SmartSidebar dan Floating Window untuk produktiviti yang lebih efisien.
- DTS Sound
- Sistem audio DTS untuk ekosistem ZTE.
- Enhanced display mode dan Tiny screen adjustmment
- Menjadikan skrin lebih cantik serta kawalan manual skrin kecil yang melindungi kamera swafoto.
- Light strip
- Kawalan RGB, banyak khusus pada nombor 9 – logo di belakang telefon.
- Goper
- Kawalan aksesori di bawah ekosistem RedMagic.
- Mora
- Watak anime sebagai maskot RedMagic dan pembantu digital pengguna.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS – SNAPDRAGON 8 GEN 3 + RED CORE R2 PRO
Memandangkan RedMagic adalah telefon mercu dengan cip Snapdragon 8 Gen 3, dalam perbandingan prestasi ini akan saya bandingkan bersama iQOO 12 dan juga vivo X100 Pro. Perisian penanda aras adalah AnTuTu 3D, Geekbench 6 dan juga 3DMark dengan Solar Bay serta Wild Life Extreme.
Ujian ini adalah berdasarkan telefon yang baru sahaja ditetapkan dengan semua aplikasi yang saya gunakan sedia terpasang. Saya turut menghidupkan mod permua dan kipas bagi mendapatkan skor paling optimum.
Geekbench 6
- RedMagic 9 Pro – 2153/6775
- iQOO 12 – 2181/6631
- vivo X100 Pro – 2071/5032
Antutu 3D
- RedMagic 9 Pro – 2,114,787
- iQOO 12 – 2,075,821
- vivo X100 Pro – 1,852,552
3D Mark Wildlife Extreme
- RedMagic 9 Pro – 31.33 FPS
- iQOO 12 – 30.22 FPS
- vivo X100 Pro – 24.35 FPS
3D Mark Wildlife Extreme
- RedMagic 9 Pro – 33.10 FPS
- iQOO 12 – 32.43 FPS
- vivo X100 Pro – 26.35 FPS
Ini adalah telefon kedua Snapdragon 8 Gen 3 memasuki pasaran Malaysia selepas iQOO 12. Sayang sekali, walaupun sudah ada kipas fizikal, telefon masih memanas selepas bermain tiga sesi COD Mobile. Saya boleh bayangkan ia memanas sama tahap dengan Sony Xperia 1 V jika kipas dimatikan. Semua permua yang saya mainkan tidak kira yang ringan atau yang berat tidak menghadapi masalah dijalankan. RedMagic 9 Pro memberikan prestasi terbaik sehingga saya boleh bermain banyak permua dalam masa satu hari sehingga leka.
TELEFONI DAN GPS
Sambungan 5G untuk Maxis adalah sangat lancar dan stabil pada RedMagic 9 Pro. Kelajuan yang pantas, tiada masalah sambungan terputus serta kerap menerima isyarat penuh. Begitu juga dengan WiFi yang mana di rumah saya sekarang menggunakan sambungan WiFi 5GHz dan saya menggunakan telefon di dalam bilik tiada masalah berlaku. GPS pula sedikit aneh, ia lambat mengunci lokasi tetapi selepas selesai ia mampu memberi arahan dengan tepat.
KAMERA
Sudah bertahun lamanya telefon gaming tidak menawarkan kemampuan kamera yang baik kerana fotografi dan videografi bukan fokus utama. Kali terakhir sebuah telefon sebegini memfokuskan kamera adalah pada Black Shark yang sekarang entah apa khabar jenama ini. RedMagic 9 Pro kali ini menggunakan kamera 50+50+2 Megapixel dengan 16 Megapixel di bawah skrin untuk swafoto.
Kualiti kamera pula adalah seakan telefon kelas pertengahan sahaja. 50MP menghasilkan warna yang menarik, butiran yang tajam serta nilai HDR yang cukup baik. Tetapi ada masalah fokus yang tidak konsisten, mod potret yang tidak kemas serta kamera swafoto seakan era telefon 3GP. Di bawah adalah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera telefon ini.
AUDIO
Speaker telefon ini masih lagi tidak mampu menawarkan kualiti audio yang baik. Ia terlampau fokus kepada vokal sehingga bass dilupakan. Ia juga kuat dan lantang, tetapi jika tidak memberikan pengalaman pendengaran mengasyikkan – ia satu perkara mengecewakan untuk sebuah telefon gaming.
BATERI
Untuk penggunaan ekstrem seperti bermain permua untuk beberapa sesi, menstrim video, mendengar muzik dan aktif di media sosial sambil kipas fizikal dihidupkan dan skrin sentiasa yang paling terang dengan 120Hz – RedMagic 9 Pro tiada masalah untuk bertahan lebih 5 jam SOT.
Penggunaan yang lebih ringan tanpa menggunakan kipas dengan kadar segar semula adaptif – telefon tiada masalah untuk mencapai sehingga 7-8 jam SOT. Tambahan menarik pada telefon ini adalah ia menyokong penggunaan sambil telefon disambungkan kepada pengecas tetapi tidak mengecas telefon agar permua boleh dilenjan sehingga anda kepenatan.
PESAING
RedMagic 9 Pro | iQOO 12 | vivo X100 Pro |
6.8-inci OLED BOE Q9+, 2480 x 1116, 120Hz, 1600 nits, Netflix SD | 6.78″ AMOLED, 2800 x 1260, 144Hz, Netflix HDR10+ | 6.78″ AMOLED LTPO, 1260 x 2800, 120Hz, Netflix HDR10+ |
Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1x 3.3 GHz Cortex-X4 5x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 2.3 GHz Cortex-A520 | Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) 1x 3.3 GHz Cortex-X4 5x 3.2 GHz Cortex-A720 2x 2.3 GHz Cortex-A520 | Dimensity 9300 (4nm) 1x 3.25 GHz Cortex-X4 3x 2.85 GHz Cortex-X4 4x 2.0 GHz Cortex-A720 |
Adreno 750 | Adreno 750 | Immortalis-G720 MC12 |
12/16 GB LPDDR5X | 16 GB LPDRR5X | 16 GB LPDDR5X |
256/512 GB UFS 4.0 | 512 GB UFS 4.0 | 512GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50 MP, OIS (Sudut Lebar) 50 MP, (Ultra Sudut lebar) 2 MP, (Makro) | Kamera Utama 50MP f/1.76 OIS (Sudut Lebar) 64MP f/2.6 OIS, 3x Zum Optikal (Periskop Telefoto) 50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar) | Kamera Utama 50MP, 1″ f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.5, 4.3x zum optikal (Telefoto {Periskop) 50MP f/2.0 (Sudut Ultra Lebar) |
Kamera Hadapan 16-Megapixel UDC | Kamera Hadapan 16-Megapixel f/2.5 | Kamera Hadapan 32-Megapixel f/2.0 |
Tiada | IP64 | IP68 |
Ada, 3.5mm | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
6500 mAh (Berwayar 80W) | 5000 mAh (Berwayar 120W) | 5400 mAh (Berwayar 100W) |
RM3,499 (12/256 GB) RM4,399 (16/512 GB) | RM3,399 (16/512 GB) | RM4599 (16/512 GB) |
APA ADA DALAM KOTAK?
Untuk setiap pembelian RedMagic 9 Pro, anda akan menerima;
- 1x RedMagic 9 Pro
- 1x Pengecas GaN 65W
- 1x 1x Kabel C ke C
- 1x Kerangka pelindung plastik keras
- 1x Set buku panduan dan keselamatan
KESIMPULAN
Tidak dinafikan yang RedMagic 9 Pro ada banyak perubahan. Paling saya terkejut adalah perisian yang semakin matang dan tidak mengelirukan. Cuma ada sedikit lagi terma yang aneh kerana penterjemahan secara terus. Prestasi sudah semestinya antara yang terpantas sehingga menewaskan iQOO 12 kerana kipas fizikal dan cip tambahan Red Core R2 Pro yang meningkatkan lagi prestasi telefon ke tahap paling optimum.
Skrin juga cantik, terang dan imersif – terbaik jika anda tidak hiraukan HDR10+ pada Netflix. Masalah utama saya dengan telefon ini adalah speaker yang lemah serta perisian yang tiada jaminan masa hadapan. RedMagic 9 Pro adalah telefon gaming 2024 yang mantap setakat ini kerana ASUS ROG Phone 8 yang masih belum dilancarkan.
PRO
- Rekaan yang unik dengan skrin yang seksi.
- Sistem penyejukan kipas sebenar yang tiada pada pesaing.
- Prestasi dahsyat dengan perisian yang menarik.
- Butang bahu yang bermanfaat dengan butang lain yang sedap ditekan.
- Masih ada bicu audio 3.5mm.
KONTRA
- Perisian tiada jaminan kemas kini.
- Speaker hanya ala kadar.
- Kamera yang tidak setaraf dengan harga jualan.
- Lampu RGB yang semakin berkurangan.
- Pemasaran telefon mengelirukan, Shopee Mall set global dan kedai fizikal set rasmi.