Cari @ Amanz

Beberapa hari yang lalu LG memperlihatkan robot pintar yang boleh menjadi pembantu rumah dengan menjaga haiwan peliharaan dan mengawal pelbagai peranti internet benda. Hari ini Samsung memperlihatkan pula Ballie, juga sebuah robot pembantu rumah yang berbentuk bulat.

Ia adalah versi kedua Ballie yang sebelum ini diperlihatkan di CES 2020. Ballie 2.0 adalah lebih besar dengan semakin banyak kemampuan tambahan yang tidak ada pada model asal. Ia dilengkapi projektor di hadapan yang boleh memaparkan video untuk ditonton, menjadi skrin untuk melakukan senaman, menghiburkan haiwan peliharaan dan juga memaparkan corak pada siling bilik ketika tidur.

Ketika memantau ruang rumah, ia boleh menghantar gambar dan video kepada pemilik. Arahan boleh diberikan untuk ia mengawal peranti elektronik rumah seperti lampu, pendingin hawa atau penapis udara. Turut dapat dilihat ialah Ballie digunakan untuk sesi telesidang dan menyambut kepulangan pemilik di pintu.

Seperti Ballie asal, Samsung tidak menyatakan sama ada ia akan ditawarkan sebagai produk sebenar atau sekadar sebuah demo teknologi untuk rumah pintar masa hadapan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd