Pembantu maya Google Assistant akan membuang 17 ciri yang menurut Google tidak begitu kerap digunakan oleh orang ramai. Ini adalah langkah yang diambil selepas muncul laporan Google melakukan penyusunan semula bahagian perkakasan dan perkhidmatan mereka menyebabkan sekitar 1000 kakitangan telah dibuang kerja.
Ciri akan dibuang sepenuhnya bermula 26 Februari dengan pengguna Assistant akan diberikan peringatan mengenainya pada 26 Januari. Langkah membuang ciri-ciri kurang digunakan ini menurut Google adalah bagi meningkatkan kemampuan Assistant serta menawarkan pengalaman yang lebih baik di masa hadapan. Sebelum ini muncul ura-ura Assistant akan digantikan dengan pembantu maya baharu dengan kecerdasan buatan (AI) Pixei pada peranti Pixel.
Malahan sejak awal tahun lalu, pasukan Assistant telah dirombak bagi memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan Bard. Seperti yang sudah diperlihatkan beberapa bulan yang lalu, Bard ialah berfungsi dengan cukup cemerlang lebih-lebih lagi selepas menggunakan model Gemini yang terkini. Senarai 17 ciri yang akan dihentikan ialah seperti di bawah.
- Memainkan dan mengawal Google Play Books menggunakan suara.
- Melakukan tetapan penggera media, muzik dan radio menerusi Assistant.
- Mengakses dan menguruskan buku resipi, memindahkannya antara peranti, memainkan video resipi. Assistant masih boleh digunakan untuk mencari resipi di YouTube.
- Menguruskan jam randik di speaker dan skrin pintar. Menetapkan penggera masih boleh dilakukan.
- Menggunakan Assistant untuk menghantar mesej suara ke dalam Google Family Group.
- Gunakan suara menghantar emel, video atau mesej audio. Melakukan panggilan telefon dan menghantar mesej teks masih boleh dilakukan.
- Melakukan suntingan acara di Google Calendar dengan arahan suara.
- Menggunakan App Launcher menerusi mod memandu Google Assistant dalam Google Maps untuk menghantar mesej, melakukan panggilan telefon dan mengawal media. Kawalan suara Google Maps masih boleh dilakukan.
- Meminta jadual pengumuman Family Bell. yang telah dilakukan.
- Melakukan meditasi menerusi Calm.
- Kawalan suara untuk aktiviti pada Fitbit Sense dan Versa 3. Sokongan hanya boleh dilakukan di jam tangan Pixel Watch.
- Melihat rumusan tidur hanya boleh dilakukan di Google Smart Displays.
- Panggilan menggunakan speaker Smart Displays tidak lagi menunjukkan identiti kecuali jika menggunakan Duo.
- Anggaran masa “Commute to Work” tidak lagi dipaparkan di Smart Display. Ia hanya boleh dipaparkan jika arahan suara diberikan oleh pengguna.
- Memeriksa itinerari perjalanan menggunakan arahan suara. Hanya status penerbangan sahaja boleh dipaparkan selepas ini.
- Bertanya mengenai maklumat individu dalam buku alamat.
- Memberikan arahan seperti hantar bayaran, lakukan tempahan, atau hantar status ke media sosial dengan arahan suara.