Cari @ Amanz

Program QueSST (Quiet Super Sonic Transport) diumumkan pada tahun 2017 bagi membangunkan pesawat penumpang supersonik generasi kedua yang tidak lagi menghasilkan bunyi bising sonic boom. Ini adalah sebab mengapa pesawat Concorde tidak boleh beroperasi pada kelajuan supersonik apabila melintas ruang udara Malaysia semasa Singapore Airlines menggunakannya antara 1977-1980.

Lockheed Martin X-59

Sebelum pesawat penumpang supersonik skala besar dibangunkan, pesawat Lockheed Martin X-59 akan digunakan untuk melakukan ujian. Sasaran NASA dan Lockheed Martin ialah X-59 menghasilkan bunyi seperti pintu ditutup sahaja pada kelajuan supersonik. Awal pagi tadi X-59 telah diperlihatkan secara rasmi oleh NASA dan Lockehed Martin di fasiliti terkemuka Skunk Works di California.

X-59 mempunyai muncung yang panjang bagi menyebarkan gelombang yang dihasilkan apabila terbang melebihi kelajuan bunyi. Ia dijangka boleh terbang pad kelajuan mencecah Mach 1.5 (1852 kmj). Bagi mengurangkan rintangan udara, X-59 tidak mempunyai cermin depan pada kokpit. Sebaliknya sistem kamera 4K dan skrin resolusi tinggi digunakan sebagai pengganti.

Kokpit maya dengan skrin 4K

Lockheed Martin dianugerahkan kontrak membina X-59 kerana pengalaman mereka membina pesawat supersonik SR-71 Blackbird yang masih memegang rekod pesawat terpantas dunia 3,529.6 kmj yang dicatatkan pada tahun 1976. Sungguhpun X-59 telah diperlihatkan, masih tiada pengumuman bila penerbangan pertama akan dilakukan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd