Siri Redmi Note 13 telah pun dilancarkan di Malaysia baru-baru ini dengan harga bermula RM749 dan mencapai sehingga RM1,999. Model paling mahal hadir dengan IP68, skrin 1.5K 120Hz Dolby Vision, pengecas 120W dan kamera 200MP.

Satu perkara mengecewakan adalah kesemua Redmi Note 13 masih menggunakan MIUI 14 berasaskan Android 13 dan bukannya Xiaomi HyperOS yang terkini. Untuk pasaran global siri Poco X6 dan Poco M6 Pro adalah yang pertama menggunakan HyperOS. Walaupun begitu, Xiaomi masih menjanjikan kemas kini 3 tahun versi Android dan 4 tahun tampalan sekuriti untuk model Pro dan Pro+, sementara model biasa terhad kepada 2 tahun versi Android dan 2 tahun tampalan sekuriti.

TJ Walton selaku pengurus pemasaran produk berkongsi kepada saya yang tidak lama lagi sesuatu berkait dengan HyperOS akan diumumkan. Beliau turut menjawab kenapa peranti-peranti Redmi untuk pasaran global dimuatkan dengan banyak iklan;
“Hahahaha, kami sebenarnya berniat ingin memberikan pengalaman penggunaan terbaik kepada pengguna. Keputusan meletakkan iklan di dalam MIUI 14 ini diputuskan oleh pihak atasan Xiaomi yang kerap bertukar-tukar walaupun kami bukan sahaja pernah menjanjikan MIUI bebas iklan dan bebas aplikasi gendut. Kami akan cuba sebaik mungkin dan anda boleh nantikan pengumuman kemas kini akan datang.”
TJ Walton
