Tahun lepas telah kami laporkan yang Disney+ akan terus tersedia di dalam Apple Vision Pro pada hari pelancaran. Apple akan menggunakan piawaian AOUSD untuk kandungan 3D, di mana AOUSD adalah organisasi menyeragamkan kandungan 3D yang ditubuhkan oleh Pixar, Adobe, Apple, Autodesk, NVIDIA dan Joint Development Foundation.

Baru-baru ini Apple telah mengumumkan aplikasi dan kandungan apa yang boleh dinikmati pada Vision Pro. Kandungan ini akann menyokong audio spatial, menonton di dalam sejenis ruang maya atau menonton dalam bentuk 3D. Aplikasi penstriman yang disokong adalah Disney+, ESPN, NBA, MLB, PGA Tour, Max, Discovery+, Prime Video, Paramount+, Peacock, Pluto TV, Tubi, Fubo, Crunchyroll, Red Bull TV, IMAX, TikTok, dan MUBI.

Selain audio yang imersif, pengguna turut boleh menikmati kandungan dalam paparan HDR, Dolby Vision, 4K dan imej yang tiada sela masa. Pelanggan Disney+ akan menerima akses ruang maya teater seakan El Capitan Theatre, Hollywood; Scare Floor, filem Monster Inc.; Avengers Tower; dan kokpit landspeeder Luke Skywalker. Filem Avengers: Endgame, Star Wars: The Force Awakens, Encanto, Avatar: The Way of Water, Dune, Spider-Man: Into the Spider-Verse, dan The Super Mario Bros. Movie turut akan ditawarkan dalam bentuk 3D.

Filem akan boleh distrim terus pada aplikasi penstriman atau sewa/beli di Apple TV. Dalam Apple TV turut ada beberapa kandungan 3D percuma seperti Alicia Keys: Rehearsal Room, Adventure, Wild Life dan Prehistoric Planet Immersive. Apple turut menyatakan yang Apple App Store dan Apple Arcade kelak turut akan mempunyai kategori khas visionOS yang menawarkan kandungan unik.