Telefon skrin boleh-lipat sekarang sebenarnya masih mahal, walaupun ia sudah berada di pasaran sejak tahun 2019. Tecno Phantom V Flip adalah antara yang paling mampu milik iaitu RM2999. Samsung pernah dilaporkan ingin menawarkan Z Fold FE pada harga sekitar RM2500. Terbaru, The Elec melaporkan yang Galaxy Z Fold6 mungkin mempunyai dua versi iaitu mampu milik dan premium.
Samsung dikatakan ingin menawarkan satu variasi Z Fold yang lebih murah untuk bersaing dengan jenama China seperti OnePlus, Oppo, vivo dan Xiaomi. Di China, peranti Samsung tidak cukup popular dan mereka ingin cuba menguasai pasaran negara ini. Selain turut ingin mengubah rekaan peranti untuk menjadi lebih nipis kerana Z Fold5 adalah yang paling tebal setakat ini. Tiada perancangan untuk Z Flip mampu milik, kerana Samsung dikatakan sudah selesa dan yakin untuk pasaran peranti jenis clamshell ini.
Walaupun begitu, sumber memberitahu yang Samsung kurang yakin untuk mengeluarkan Z Fold6 mampu milik ini. Ini kerana mereka risau jika orang ramai akan hanya memilih model premium dan versi mampu milik tidak laku atau sebaliknya. Galazy Z Fold6 dijangka akan dilancarkan pada pertengahan tahun 2024, sama-sama kita nantikan.